Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menutup sementara beberapa pejabat dan cawangannya di Terengganu dan Pahang, untuk tujuan sanitasi.
LHDN dalam satu kenyataan memaklumkan, pejabat dan cawangan yang terbabit dalam sanitasi itu ialah Pusat Khidmat Hasil (PKH) Besut, Terengganu yang akan ditutup mulai hari ini dan kembali beroperasi pada 16 Mei.
Sementara di Pahang pula pejabat cawangan LHDN Kuantan dan cawangan siasatan di Menara Hasil di Kuantan ditutup mulai esok hingga 25 Mei untuk tujuan yang sama.
LHDN bagaimanapun tidak menyatakan sebab sanitasi terpaksa dilakukan.
Kes jangkitan Covid-19 di Besut, Terengganu hari ini adalah sebanyak 40 kes, manakala di Pahang pula daerah Kuantan mencatatkan 57 kes baharu daripada 100 jangkitan positif di seluruh negeri itu.
Sebarang pertanyaan serta maklum balas, orang ramai boleh menghubungi LHDN menerusi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 03-8911 1100 (luar negara), HASiL Live Chat atau borang maklum balas di portal rasmi LHDNM di pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.