
Thailand mewujudkan hospital lapangan terbesar dengan mengubah suai sebuah gudang kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muang, Bangkok, yang boleh memuatkan 1,800 katil bagi menampung pesakit Covid-19 yang semakin meningkat. - Gambar CNN
Thailand hari ini melaporkan kes tertinggi harian jangkitan Covid-19 mencecah 18,912 kes, menjadikan kumulatif kepada 597,287 kes.
Angka ini meningkat susulan penularan varian Delta yang semakin meluas, tatkala Bangkok dan 12 wilayah lain yang berisiko tinggi dikenakan perintah sekatan.
Pada masa sama Pasukan Petugas Covid-19 Thailand turut melaporkan 178 kematian baharu yang juga rekod harian tertinggi, menjadikan keseluruhannya 4,857 pesakit meninggal dunia, berbanding 100 kematian empat bulan lalu.
Semalam negara itu merekodkan 17,345 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam dan 117 kematian.
Thailand juga mengarahkan penutupan semula keseluruhan pulau pelancongan Phuket mulai 3 hingga 16 Ogos, susulan penularan Covid-19, sementara nasib skim pelancongan ‘Phuket Sandbox’ belum dipastikan lagi.
Thailand membuka semula pulau itu kepada pelancong asing 1 Julai lalu menerusi skim Phuket Sandbox, dengan mensyaratkan hanya individu yang telah menerima dua dos suntikan dibenar masuk.
Sementara itu Kementerian Kesihatan Thailand berkata negara itu akan memesan vaksin tambahan Pfizer/BioNTech sebanyak 10 juta dos bagi menampung program imunisasi kepada rakyatnya.
Jurucakap kementerian itu, Kiatiphum Wongrajit berkata Thailand dijangka memperoleh 20 juta dos vaksin Pfizer hujung tahun ini tetapi merancang menambah lagi bekalan untuk menampung keperluan.
Program imunisasi negara itu sekarang ini lebih banyak bergantung kepada vaksin Sinovac buatan China dan AstraZeneca yang dikilangkan di Thailand, tetapi berdepan kelewatan dalam penghantaran.
Hanya kira-kira 5.6 peratus daripada 66 juta populasi di negara itu sudah menerima sepenuhnya vaksin Covid-19.
Thailand sebelum ini menerima satu juga dos vaksin Sinovac sumbangan China dan sejuta dos AstraZeneca dari Jepun. Britain juga berjanji membekalkan 415,000 dos AstraZeneca kepada Thailand.
Pada Jumaat, Thailand menerima sebahagian daripada 1.5 juta dos vaksin yang disumbangkan kerajaan Amerika Syarikat. – Agensi