
Thailand mencatat 24,635 jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga tengah hari 28 Mac 2022. - Gambar agensi
Ketika Thailand mencatatkan jumlah jangkitan harian Covid-19 yang semakin menurun kebelakangan ini, Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) negara itu melanjutkan lagi perintah darurat sekurang-kurang sehingga akhir November ini.
Susulan itu, rancangan pembukaan penuh Thailand kepada dunia luar ditangguhkan. Perintah darurat di negara itu sepatutnya berakhir hujung bulan ini.
Semalam, CCSA melaporkan 11,975 jangkitan baharu dan 127 kematian, menjadikan keseluruhannya 1,549,285 kes positif dan 16,143 kematian. Daripada jumlah kes positif itu, 1,408,821 pesakit telah sembuh.
Data CCSA menunjukkan dalam tempoh 24 jam lalu 124,540 pesakit menjalani rawatan di hospital, 3,323 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, 729 memerlukan alat bantuan pernafasan dan 2,370 disyaki dijangkiti Covid-19.
Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand, Natthapon Nakpanich meluluskan cadangan meletakkan negara itu dalam perintah darurat dan meneruskan operasi serta peranan CCSA.
Perintah darurat yang dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu membolehkan kerajaan Thailand menubuhkan beberapa jawatankuasa khas dan menguatkuasakan peraturan bagi mengekang penularan Covid-19.
CCSA juga dilaporkan bersetuju menangguhkan pembukaan penuh lima wilayah kepada pelancong antarabangsa bermula 1 Oktober, kepada 1 November.
Pusat tumpuan pelancong di Bangkok, Chiang Mai, Pattaya di Chon Buri dan destinasi berkembar Hua Hin di wilayah Prachuap Khiri Khan dan Cha-am di Phetchaburi, sepatutnya dibuka semula 1 Oktober ini.
Bagaimanapun, Majlis Keselamatan Thailand berpendapat semua wilayah berkenaan belum bersedia menerima kehadiran pelancong antarabangsa kerana situasi jangkitan harian Covid-19 belum mengizinkannya. – Agensi