
Soyuz MS-23 tanpa pemandu berlepas dari pusat angkasa Baikonur di Kazakhstan dalam misi menyelamat tiga angkasawan yang terkandas di Stesen Angkasa Antarabangsa. - Gambar Reuters/Agensi
Russia hari ini (Jumaat, 24 Februari 2023) menghantar sebuah kapal angkasa, Soyuz, dalam misi untuk membawa pulang kru yang terkandas di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) akibat kebocoran sistem penyejukan kapsul asal yang akan membawa mereka pulang.
Reuters memetik laporan agensi berita Russia, Tass berkata Soyuz MS-23 tanpa pemandu berlepas dari pusat angkasa Baikonur di Kazakhstan dan telah diletakkan di orbit.
Ia sepatutnya berlabuh dengan ISS, esok (Sabtu) pada jam 0101 GMT (waktu Greenwich).
Angkasawan Russia Sergey Prokopyev dan Dmitry Petelin, serta angkasawan Amerika Syarikat (AS) Francisco Rubio sepatutnya menamatkan misi mereka pada Mac. Mereka terperangkap di angkasa lepas setelah sistem penyejukan kapsul Soyuz MS-22 mula bocor dua bulan lalu.
Agensi angkasa lepas Russia, Roscosmos berkata minggu ini ketiga-tiga mereka kini akan kembali ke bumi menaiki Soyuz MS-23 pada September. Kapal angkasa MS-22 yang rosak kini dijadualkan mendarat tanpa kru pada Mac.
Kedua-dua, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan AS (NASA) dan Roscosmos percaya kebocoran kapal angkasa MS-22 tahun lepas disebabkan oleh mikrometeoroid – zarah kecil batu angkasa – menghentam kapsul pada halaju tinggi.
Kesan serupa juga dipercayai menyebabkan kebocoran berasingan bulan ini pada sistem penyejukan kapal kargo Progress MS-21, yang dibawa keluar dari orbit minggu lalu.
Tass berkata 430 kilogram (kira-kira 950 paun) kargo dihantar ke kapal gantian, termasuk peralatan perubatan, instrumen saintifik, air, makanan dan bekalan pembersihan.
Tass memetik seorang pegawai angkasa lepas Russia sebagai berkata jumlah makanan yang dihantar adalah tiga kali ganda jumlah yang biasanya dihantar untuk misi sedemikian.
Kebocoran itu telah mendorong Roscosmos dan NASA untuk menyusun semula jadual mereka dan menangguhkan perjalanan ruang angkasa yang dirancang. – Reuters