
Kawasan sekitar hotel ditutup selepas ia rosak teruk akibat serangan udara Russia di Kyiv, pada 31 Disember 2022. - Gambar NYtimes
Russia meneruskan serangan ke atas Kyiv, ibu negara Ukraine, dan bahagian lain di negara itu pada awal hari pertama tahun baharu 2023, dengan peluru berpandu dilancarkan sehari sebelumnya, menyusul siren serangan udara berbunyi berjam-jam semalaman.
Komando Tentera Udara Ukraine berkata bahawa mereka telah memusnahkan 45 dron Shahed buatan Iran – 32 daripadanya selepas tengah malam pada Ahad dan 13 lagi pada lewat Sabtu.
Presiden Russia Vladimir Putin dalam ucapan Tahun Baharu yang agresif memberi isyarat bahawa perang, yang kini masuk bulan ke-11, akan berterusan, ucapan yang berbeza dengan mesej perpaduan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky.
Perintah berkurung antara 7 malam hingga tengah malam kekal di seluruh Ukraine, menjadikan perayaan untuk permulaan 2023 mustahil di ruang awam.
Serpihan daripada peluru berpandu yang musnah menyebabkan kerosakan minimum di pusat ibu negara, dan laporan awal menunjukkan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa, kata Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko di media sosial.
Komando tertinggi Ukraine berkata dalam laporan pada Ahad bahawa Russia telah melancarkan 31 peluru berpandu dan 12 serangan udara di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sebelumnya.
Duta Besar Amerika Syarikat ke Ukraine, Bridget Brink berkata di Twitter: “Russia dengan dingin dan pengecut menyerang Ukraine pada awal tahun baru. Tetapi Putin nampaknya masih tidak faham bahawa orang Ukraine diperbuat daripada besi.”
Andrii Nebytov, ketua polis Kyiv, menyiarkan gambar pada aplikasi pemesejan Telegramnya, didakwa sekeping dron yang digunakan dalam serangan di ibu negara dengan tanda tulisan tangan di atasnya dalam bahasa Russia yang berbunyi “Selamat Tahun Baharu”.
“Serpihan ini tidak berada di hadapan, di mana pertempuran sengit berlaku, mereka berada di sini, di padang sukan, tempat kanak-kanak bermain,” kata Nebytov.
Serangan itu berlaku beberapa minit selepas ucapan Tahun Baharu Zelensky yang mendoakan kemenangan untuk negaranya dalam perang yang memasuki bulan ke-11, dan masih tanpa penghujungnya.
Letupan terus kedengaran selepas itu, tanpa laporan segera mengenai kerosakan, lapor saksi Reuters.
Terdapat juga laporan tidak rasmi mengenai letupan di wilayah selatan Kherson dan wilayah Zhytomyr utara.
Serangan itu menyusuli serangan lebih 20 peluru berpandu jelajah yang dilepaskan ke arah sasaran di seluruh Ukraine pada Sabtu. – Reuters