
Tangkap layar klip video kejadian tembakan di Selatan Thailand malam tadi (14 April 2023).
Satu siri serangan bom dan tembakan terancang berlaku hampir serentak di tiga wilayah Selatan Thailand, malam tadi (14 April 2023), tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sejumlah penyerang bersenjata yang tidak diketahui melakukan serangan di enam lokasi berbeza di wilayah Yala; Pattani; dan Narathiwat hampir serentak.
Berikut adalah serangan yang berlaku kira-kira jam 8.30 hingga 10.30 malam tadi di beberapa tempat di ketiga-tiga wilayah itu:
Sebuah bom meletup di atas jambatan landasan kereta api di tambon Sateng Nok di daerah Muang di Yala;
Satu lagi serangan berlaku di pos luar unit operasi khas di daerah Rueso, Narathiwat. Ini menyebabkan berlakunya tembak menembak antara pasukan keselamatan dan kumpulan lelaki bersenjata;
Dua lelaki bermotosikal melepaskan tembakan ke arah pos unit operasi khas di stesen kereta api Wat Chang di tambon Thung Phla daerah Khok Pho di Pattani;
Penyerang melepaskan tembakan ke arah pegawai polis di stesen kereta api Khok Pho di Khok Pho;
Bom paip telah dilemparkan ke dalam pos renjer separa tentera di tambon Yata daerah Raman di Yala; dan
Satu lagi serangan berlaku di Chuap, di daerah Cho Airong, Narathiwat, menyebabkan pertempuran antara kumpulan bersenjata dan unit khas polis di stesen kereta api Cho Airong.
Penyerang turut dilaporkan menggunakan pelancar bom tangan M79 dalam serangan itu.
Polis turut menemui 13 kelongsong peluru M16 di tempat kejadian.
Susulan serangan itu, semua perjalanan kereta api dari Bangkok, Pattalung dan Surat Thani dihentikan di stesen Yala.