
New Zealand akan membenarkan pelancong asing menjalani kuarantin kendiri di rumah mulai bulan depan. - Gambar Reuters
New Zealand akan membenarkan individu lengkap divaksinasi menjalani kuarantin kendiri di rumah sejajar pendekatan bertahap untuk membuka semula negara itu kepada kemasukan pelancong asing.
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berkata projek perintis bermula Oktober ini bakal membabitkan 150 individu yang akan menjadi warganegara atau penduduk tetap dan perlu lengkap divaksinasi.
“Pihak kami dalam usaha untuk memudahkan pelancong yang masuk ke negara ini untuk memendekkan masa untuk melakukan pengasingan kendiri pada masa akan datang,” jelasnya.
Sehingga kini, pelancong atau penduduk tetap New Zealand yang baru pulang atau ingin masuk ke negara itu perlu menjalani kuarantin di pusat yang ditetapkan sekurang-kurangnya selama 14 hari, tetapi kemudahan di fasiliti itu adalah sangat terhad.
Sejak Mac tahun lalu, New Zealand mampu melawan Covid-19, namun pada Ogos lalu negara itu mengambil langkah mengenakan sekatan dan penutupan penuh susulan penularan meluas varian Delta.
Manakala, bandar terbesarnya, Auckland kekal melaksanakan sekatan penuh kerana masih mencatatkan kes baharu setiap hari.
Ardern mengingatkan sekurang-kurangnya 90 peratus dari penduduknya perlu divaksin untuk mencegah penularan yang lebih teruk dan sebelum wabak ini merebak dengan lebih meluas ke seluruh negara itu.
Sehingga kini, hampir 43 peratus daripada lebih 4.87 juta populasinya sudah lengkap divaksin.
Pihak berkuasa New Zealand hari ini melaporkan 12 kes baharu Covid-19 dan semuanya tertumpu di Auckland, menjadikan angka kes melibatkan jangkitan varian Delta mencecah 1,177 kes. – Agensi