
Tentera terus mengawal beberapa tempat strategik di Kazakhstan susulan tunjuk perasaan aman yang bertukar ganas minggu lalu. - Gambar EPA-EFE
Pasukan keselamatan Kazakhstan dilaporkan menangkap 7,939 individu, majoritinya penunjuk perasaan, dalam demonstrasi yang berlaku di negara itu minggu lalu, – keganasan terburuk dalam sejarah negara Asia Tengah pasca-Soviet – kata Kementerian Dalam Negeri.
Bangunan kerajaan di beberapa bandar telah ditawan dengan mudah oleh penunjuk perasaan dan kemudian dibakar minggu lalu apabila tunjuk perasaan aman terhadap kenaikan harga bahan api bertukar menjadi ganas.
Pihak berkuasa telah menyalahkan keganasan itu terhadap “pelampau” dan “pengganas”, yang sebahagian daripada mereka dikatakan warga asing.
Minggu lalu, bekas Ketua Suruhanjaya Keselamatan Negara, Karim Masimov ditahan atas tuduhan khianat dan penderhakaan, sehari selepas Presiden Kassym-Jomart Tokayev memecatnya.
Tokayev turut memecat menteri Kabinet, mengeluarkan arahan ‘tembak tanpa amaran’ bagi mengakhiri tunjuk perasaan, dan mengisytihar darurat di negara yang mempunyai 19 juta penduduk dan kaya dengan minyak serta gas.
Dia juga meminta pakatan tentera bekas negara-negara Soviet yang diketuai Russia untuk menghantar pasukan, yang menurut kerajaan telah dikerahkan untuk mengawal sasaran strategik.
Tokayev juga menyifatkan tunjuk perasaan yang membawa maut itu sebagai cubaan rampasan kuasa, dan gerakan memburu ‘pengganas’ masih diteruskan.
Dia memberitahu pemimpin pakatan tentera bekas negara Soviet bahawa tindakan itu telah diselaraskan oleh “pusat tunggal”, tetapi tidak menamakan mereka yang bertanggungjawab.
Presiden Russia Vladimir Putin pula mendakwa Kazakhstan telah menjadi sasaran keganasan antarabangsa, tetapi tidak memberikan bukti untuk dakwaan ini. – Agensi