
Penunjuk perasaan mendesak Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa meletak jawatan susulan krisis ekonomi yang berlaku. - Gambar Reuters
Seluruh Kabinet Sri Lanka, kecuali Presiden dan Perdana Menteri yang juga adik-beradik, meletak jawatan pada Ahad ketika parti politik pemerintah berusaha menyelesaikan krisis ekonomi yang semakin memuncak, dengan sekatan ke atas media sosial gagal menghentikan satu hari lagi demonstrasi antikerajaan.
Negara kepulauan Asia Selatan itu menghadapi kekurangan bekalan makanan, bahan api dan keperluan lain – menyusul rekod inflasi paling teruk sejak mencapai kemerdekaan daripada Britain pada 1948.
Semua 26 menteri dalam Kabinet, kecuali Presiden Gotabaya Rajapaksa dan abangnya Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa, menyerahkan surat peletakan jawatan pada mesyuarat lewat malam, kata Menteri Pendidikan Dinesh Gunawardena kepada pemberita.
Antara mereka yang meletak jawatan termasuk dua adik beradik Gotabaya iaitu Basil Rajapaksa yang juga Menteri Kewangan, dan Chamal Rajapaksa (Menteri Pertanian), serta anak saudara mereka Namal Rajapaksa (Menteri Sukan).
Peletakan jawatan itu membuka jalan kepada presiden untuk melantik Kabinet baharu pada Isnin – dan beberapa daripada mereka yang berundur mungkin dilantik semula.
Tindakan itu juga menyusul pelaksanaan darurat yang dikenakan selepas orang ramai cuba menyerbu rumah presiden di ibu negara Colombo, dan perintah berkurung di seluruh negara berkuat kuasa sehingga pagi Isnin.
Sebelum ini, Samagi Jana Balawegaya (SJB), pakatan pembangkang utama Sri Lanka, mengecam sekatan media sosial bertujuan menghentikan demonstrasi awam yang semakin meningkat dan berkata sudah tiba masanya untuk kerajaan meletakkan jawatan.
“Presiden Rajapaksa lebih baik menyedari bahawa ia telah menghidupkan pemerintahan autokratiknya,” kata Ahli Parlimen SJB, Harsha de Silva kepada AFP.
Tentera dengan senjata automatik bergerak untuk menghentikan protes dilakukan penggubal undang-undang pembangkang dan ratusan penyokong mereka yang cuba berarak ke Dataran Kemerdekaan ibu negara.
Penyedia perkhidmatan Internet diarah menyekat akses kepada Facebook, WhatsApp, Twitter dan beberapa platform media sosial lain tetapi sekatan itu tidak menghalang beberapa demonstrasi kecil di tempat lain di Sri Lanka.
Polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan pelajar universiti di tengah bandar Peradeniya, walaupun protes di bahagian lain negara itu berakhir tanpa insiden. – Agensi