
Kes Covid-19 di Indonesia kini lepasi 50 ribu kes sehari. - Gambar Reuters
Lebih 350 doktor dan kakitangan perubatan di Indonesia dijangkiti Covid-19 dan puluhan dimasukkan ke hospital kerana demam yang tinggi serta penurunan paras oksigen dalam badan, walaupun sudah divaksin dengan Sinovac.
Sebilangan besar mereka tidak menunjukkan simptom Covid-19 dan menjalani kuarantin di rumah, kata Ketua Pejabat Kesihatan Daerah Kudus di Jawa Tengah, Badai Ismoyo.
Daerah itu yang mempunyai lebih 5,000 kakitangan kesihatan kini giat memerangi peningkatan kes yang dipercayai dipacu oleh virus lebih mudah menular dan dikategorikan sebagai membimbangkan (VOC) – varian Delta – sehingga penggunaan katil di hospital daerah itu meningkat 90 peratus.
Dikategorikan sebagai kumpulan yang diberi keutamaan, kakitangan kesihatan antara individu yang pertama sekali diberi vaksin bermula Januari lalu.
Boleh dikatakan kesemuanya menerima vaksin Covid-19 diperbuat oleh syarikat farmasi China, Sinovac, kata Persatuan Perubatan Indinesia (IDI).
Walaupun jumlah kakitangan kesihatan di Indonesia yang meninggal akibat Covid-19 menurun mendadak daripada 158 orang pada Januari kepada 13 orang pada Mei, menurut kumpulan inisiatif data LaporCOVID-19, pakar kesihatan awam mengatakan bahawa hospital di Jawa menjadi perhatian.
“Data menunjukkan mereka di Kudus mempunyai varian Delta. Jadi tidak menghairankan bahawa jangkitan direkodkan lebih tinggi daripada sebelumnya.
“Kita tahu bahawa majoriti kakitangan kesihatan di Indonesia mendapat Sinovac, tetapi kita masih tidak mengetahui bagaimana keberkesanannya di dunia nyata untuk melawan varian Delta,” kata pakar epidemiologi Universiti Griffith Australia, Dicky Budiman.
Jurucakap Sinovac tidak dapat dihubungi untuk mengulas keberkesanan Sinovac terhadap pelbagai varian Covid-19.
Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meluluskan penggunaan kecemasan Sinovac sambil mengatakan keputusan vaksin itu mampu mencegah simptom adalah 51 peratus dan menghalang Covid-19.
Ketika Indonesia terkesan sebagai salah satu negara di Asia yang berdepan wabak terburuk, dengan 1.9 juta positif Covid-19 dan 53,000 meninggal dunia, seramai 946 doktor dan jururawatnya turut maut.
Ramai kakitangan kesihatan yang kini mengalami keletihan akibat pandemik Covid-19 sudah mula kurang memberi perhatian kepada protokol kesihatan setelah diberi vaksin, kata Lenny Ekawati, dari kumpulan bebas data kesihatan yang berkaitan dengan LaporCOVID-19.
Seminggu selepas cuti sambutan Hari Raya Puasa lalu, Indonesia menyaksikan peningkatan kes dengan kadar positif melebihi 23 peratus pada Rabu dan kes harian mencatatkan hampir 10,000, tertinggi sejak akhir Februari.
Dalam laporan terbaharu, WHO menggesa Indonesia memperketatkan sekatan di tengah-tengah peningkatan penularan dan kenaikan jumlah mereka yang dimasukkan ke hospital – Reuters