Indonesia rekod kematian tertinggi pesakit Covid-19 semalam

Indonesia semalam memaklumkan 1,566 pesakit meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam – kes kematian harian tertinggi pernah dicatatkan sejak wabak itu melanda negara berkenaan awal tahun lalu.

Angka itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang meninggal dunia akibat Covid-19 di negara keempat di dunia paling ramai penduduk itu kepada 80,598, menurut data dikeluarkan Pasukan Petugas Penanganan Covid-19 Indonesia.

Negara itu turut melaporkan 49,071 jangkitan baharu harian menjadikan kumulatif 3,082,410 kes, manakala 38,988 pesakit sembuh menjadikan keseluruhan kes sembuh sebanyak 2,431,911.

Jumlah kes aktif pula sebanyak 569,901, sementara individu yang disyaki dijangkiti Covid-19 pula sebanyak 267,866 individu.

Wilayah Jawa Barat menyumbang kes tertinggi sebanyak 8,925, diikuti Jakarta (8,033), Jawa Timur (6,912), Jawa Tengah (4,498), Banten (2,626), dan Sumatera Utara (1,521).

Sementara itu, jumlah kes sembuh tertinggi direkodkan di Jakarta sebanyak 14,442, diikuti Jawa Barat (6,875), Jawa Tengah (4,095), Jawa Timur (4,085), dan Yogyakarta (976).

Dari segi jumlah kumulatif disahkan dijangkiti Covid-19, Jakarta merekodkan kes tertinggi sebanyak 778,520, diikuti Jawa Barat (556,180), Jawa Tengah (343,350), Jawa Timur (266,641), Kalimantan Timur (103,062), Yogyakarta (101,005), Banten (100,611), dan Riau (85,860). – Agensi

BERITA BERKAIT
POPULAR