
Pusat beli-belah di Bangkok diarah tutup susulan penularan varian Delta yang semakin meningkat di ibu negara Thailand itu.
Bank of Thailand (BoT) menurunkan lagi unjuran pertumbuhan ekonomi negara itu tahun ini kepada 0.7 peratus, tatkala gelombang ketiga wabak Covid-19 memberi kesan yang lebih teruk.
Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand merekodkan jumlah jangkitan harian tertinggi apabila 20,920 kes baharu dikesan menjadikan kumulatif sebanyak 693,305 kes dengan 473,732 disahkan sembuh.
Jumlah kes harian tertinggi sebelum ini direkodkan pada Rabu, 4 Ogos 2021, membabitkan 20,200 kes.
Dalam tempoh sama 160 kematian dicatatkan menjadikan kumulatif meningkat kepada 5,663 kes sejak Covid-19 melanda negara itu awal tahun lalu.
Ahad lalu, kerajaan Thailand melanjutkan lagi perintah sekatan sehingga 18 Ogos ini dengan memperketatkan beberapa peraturan di Bangkok dan 29 wilayah yang kini dikategorikan sebagai ‘zon merah hitam’ berbanding 13 wilayah sebelum ini.
Antara peraturan yang diperketat termasuk larangan perjalanan kecuali untuk penghantaran bahan mentah dan barangan keperluan, arahan duduk di rumah, dan penutupan pusat beli-belah, selain perintah berkurung mulai jam 9 malam hingga 4 pagi.
Sama seperti negara-negara lain, perintah kawalan itu menyebabkan ekonomi negara berkenaan terjejas teruk.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Dasar Kewangan BoT (MPC) yang bermesyuarat pada Rabu membuat keputusan untuk menurunkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2021 daripada 1.8 peratus yang dibuat bulan lalu, kepada 0.7 peratus.
Sebagai tambahan, negara itu juga menurunkan unjuran KDNK bagi tahun depan kepada 3.7 peratus berbanding ramalan awal sebanyak 3.9 peratus.
MPC telah mempertimbangkan pelbagai faktor negatif dan positif, tetapi jawatankuasa berpendapat bahawa tinjauan mendapati keadaan ekonomi akan menghadapi risiko penurunan yang lebih tinggi, kata Setiausaha MPC Titanun Mallikamas.
Tambahan subsidi kerajaan serta langkah-langkah stimulus dijangka membantu perkembangan ekonomi sebanyak 0.4 peratus, manakala pemulihan eksport dijangka menyumbang 0.1 peratus kepada KDNK Thailand, katanya. – Agensi