
Anggota rap The Fugees yang memenangi anugerah Grammy, Prakazrel Michel tiba untuk perbicaraan di Washington, pada 30 Mac 2023. - Gambar Reuters
Pendakwa raya Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis (30 Mac 2023) menuduh penyanyi rap, pemenang Anugerah Grammy, Prakazrel “Pras” Michel dari kumpulan hip-hop The Fugees secara haram mengambil puluhan juta dolar untuk melobi kerajaan AS bagi pihak pembiaya Malaysia dan kerajaan China.
Tuduhan itu dibuat pada permulaan perbicaraan yang menurut Pendakwa Raya Nicole Lockhart akan mengaitkan Michel dengan pembiaya yang juga ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, yang disyaki menggelapkan AS$4.5 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhada (1MDB, dan kempen bertujuan menghantar pulang pembangkang China, Guo Wengui.
Michel dibicarakan atas 11 dakwaan jenayah, termasuk pelbagai pertuduhan konspirasi untuk apa yang dikatakan pendakwa raya sebagai tiga skim lobi berasingan untuk mempengaruhi pentadbiran bekas Presiden Barack Obama dan Donald Trump.
Michel telah menafikan dakwaan tersebut.
“Ini adalah kes mengenai wang asing, pengaruh dan penyembunyian,” kata Lockhart, semasa kenyataan pembukaannya di Washington pada Khamis.
Lockhart memberitahu juri bahawa kes itu akan menyerlahkan “rancangan jahat politik, urusan belakang … telefon dan pembohongan.”
The Fugees memenangi dua Anugerah Grammy untuk album terlaris mereka pada 1996 The Score.
Tetapi menjelang 2012, pendakwa raya berkata, Michel sangat memerlukan wang tunai, dan dia menemui penyelesaian kepada masalahnya melalui Jho Low, yang diketahui membayar selebriti Hollywood untuk berpesta dengannya.
Dalam skim pertama yang didakwa, Lockhart berkata Michel bersetuju untuk menyalurkan kira-kira AS$2 juta daripada Jho Low ke dalam kempen pemilihan semula Obama pada 2012.
Oleh kerana undang-undang pilihan raya Persekutuan melarang orang asing daripada menderma kepada kempen AS, pendakwa raya berkata Michel menyembunyikan sumber dana dengan menggunakan orang lain untuk membuat sumbangan politik atas nama mereka sendiri.
Sebagai pertukaran untuk membantu Jho Low, Lockhart berkata Michel mengaut AS$18 juta.
“Melalui skim ini, defendan menipu kempen Obama,” kata Lockhart kepada juri.
Beberapa tahun kemudian, pendakwa raya berkata tumpuan kempen melobi asing oleh Michel beralih, apabila Jabatan Kehakiman AS memperhebat siasatan terhadap Jho Low berhubung penyelewengannya yang disyaki melebihi AS$4.5 bilion daripada 1MDB.
Jho Low “memerlukan jenis bantuan yang berbeza,” kata Lockhart, sambil mengatakan bahawa Jho Low membayar Michel berjuta-juta dolar untuk cuba “menjaga pengaruh di peringkat tertinggi kerajaan AS” yang akan membatalkan siasatan.
Michel dan Elliott Broidy, bekas Pengerusi Kewangan Jawatankuasa Kebangsaan Republikan, dan konspirator yang lain dituduh melancarkan kempen “saluran belakang yang tidak sah” untuk meyakinkan pentadbiran Trump supaya menghentikan siasatan terhadap Low.
Pendakwa raya berkata mereka juga cuba melobi pentadbiran Trump atas arahan China untuk mengekstradisi ahli perniagaan China dalam buangan, Guo Wengui.
Untuk kerjanya dalam dua kempen melobi ini bagi pihak Jho Low dan China, pendakwa raya berkata Michel dibayar AS$70 juta.
Pendakwa raya juga berkata Michel gagal mendaftar sebagai ejen asing seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.
Kemudian, selepas mengetahui dia berada di bawah siasatan jenayah, pendakwa raya berkata Michel cuba menghalang siasatan dengan menghubungi saksi dan menghantar surat tuntutan kepada penderma kempen 2012 dan mengancam mereka dengan tuntutan mahkamah jika mereka tidak membayar balik dana itu.
Guo Wengui sejak itu telah didakwa atas tuduhan penipuan AS yang tidak berkaitan.
Jho Low kekal sebagai buruan dalam kes Michel. Dia juga menghadapi tuduhan jenayah AS yang berasingan kerana bersubahat untuk mencuci berbilion-bilion dolar daripada 1MDB.
Pada 2019, Jabatan Kehakiman memperoleh penyelesaian sivil yang berasingan daripada tindakan jenayah dengan Jho Low bersetuju untuk memulangkan kira-kira AS$1 bilion aset.
Broidy mengaku bersalah atas peranannya pada Oktober 2020, tetapi Trump memberinya pengampunan penuh sebelum meninggalkan Rumah Putih.
Pasukan pembelaan Michel pada Khamis memilih untuk menangguhkan kenyataan pembukaan mereka sehingga selepas pendakwa selesai membentangkan kes mereka.
Peguamnya dijangka berhujah bahawa Michel tidak tahu dia bertindak sebagai ejen asing dan percaya dia berbuat demikian demi kepentingan AS.
Kes itu dijangka menampilkan keterangan daripada saksi terkemuka yang mungkin termasuk pelakon Leonardo DiCaprio, serta bekas pegawai tertinggi pentadbiran Trump. – Reuters