
Kebanyakan kes kematian sebelum dibawa ke hospital membabitkan individu berusia di atas 60 tahun dan golongan muda yang mempunyai beberapa penyakit.
Indonesia merekodkan angka kematian tertinggi hari ini sejak wabak Covid-19 melanda negara itu Mac tahun lalu, apabila 2,069 pesakit meninggal dunia dalam tempoh 24 jam, namun angka itu dikatakan tidak termasuk pesakit yang meninggal ketika menjalani kuarantin di rumah.
Angka itu mengatasi jumlah kematian tertinggi yang dilaporkan sebelum ini minggu lepas sebanyak 1,566 kematian, kata Kementerian Kesihatan Republik Indonesia.
Jumlah jangkitan baharu juga melonjak kepada 45,000 kes berbanding 28,000 yang dilaporkan semalam.
Lonjakan mendadak kes baharu di negara itu menyusul selepas pemerintah Indonesia melonggarkan sekatan dengan membenarkan gerai, restoran dan pusat beli-belah dibuka semula, walaupun perintah Pemberlakukan Pembatasan Kegiatan Masyarakat Darurat (PPKM) Tahap 4 disambung sehingga 2 Ogos.
Pakar kesihatan sebelum ini memberi amaran bahawa langkah melonggarkan sekatan itu boleh mencetuskan gelombang baharu berikutan varian Delta mula dikesan di negara berkenaan.
Pusat beli-belah dan masjid di kawasan yang kurang terjejas juga dibenarkan beroperasi bermula semalam, dengan jumlah pengunjung yang terhad.
Indonesia, negara keempat di dunia paling ramai penduduk dilihat enggan melaksanakan penutupan penuh sebagaimana dilakukan negara lain, kerana bimbang kesan ekonomi ke atas rakyatnya.
Presiden Joko Widodo (Jokowi) dikatakan merujuk kepada angka jangkitan harian dan kemasukan ke hospital yang menurun untuk melonggarkan sekatan.
Bagaimanapun, varian Delta kini sudah dikesan di beberapa wilayah di luar Jakarta termasuk Jawa dan Bali di mana jumlah jangkitan meningkat ketara beberapa minggu kebelakangan ini.
Kadar peratusan vaksinasi masih jauh di bawah sasaran sejuta dos sehari ditetapkan kerajaan dan kurang tujuh peratus daripada 270 juta penduduknya sudah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.
Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes positif yang dicatatkan di Indonesia adalah lebih 3.2 juta dengan 86,835 kematian namun, pihak berkuasa menyatakan angka sebenar jauh lebih tinggi. – Agensi