
Sebuah bas yang membawa jemaah umrah terbalik dan terbakar menyebabkan 20 maut dan 29 cedera di di Aqabat Shaar, di wilayah Asir, semalam (27 Mac 2023).
Sebuah bas yang membawa hampir 50 jemaah umrah terbakar menyebabkan 20 terbunuh dalam nahas di barat daya Arab Saudi semalam, lapor media tempatan hari ini (28 Mac 2023).
Nahas menyebabkan 29 yang lain cedera.
Rangkaian televisyen Al-Ekhbariya berkata, kemalangan itu berlaku sekitar jam 4 petang di Aqabat Shaar, di wilayah Asir.
Bas telah bertolak dari Khamis Mushayt dan menuju ke Abha.
Laporan mengatakan masalah kerosakan pada bas menyebabkan perlanggaran dengan penghadang di hujung jambatan, yang menyebabkan ia terbalik dan terbakar.
Aqabat Shaar ialah jalan sepanjang 14 kilometer yang dibuka lebih 40 tahun lalu.
Pembinaannya termasuk memotong gunung dan membina 11 terowong dan 32 jambatan, menurut media Arab Saudi.
Menurut laporan itu, mangsa terbabit mempunyai kewarganegaraan berbeza namun tidak memperincikan identiti mereka.
Laporan setakat ini hanya menyebut kemalangan berpunca masalah bas tetapi tidak menyatakan secara terperinci.
Memetik laporan akhbar swasta Okaz, kemalangan berpunca masalah brek sehingga menyebabkan bas itu melanggar jambatan, kemudian terbalik dan terbakar.
Rakaman disiarkan saluran televisyen Al-Ekhbariya menunjukkan seorang wartawan berdiri di hadapan bas yang hangus.
Tugas membawa jemaah ke sekitar bandar suci di Arab Saudi dikategorikan tugas berbahaya, terutamanya ketika musim haji apabila keadaan jalan raya kelihatan ‘huru-hara’ dengan bas sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang tidak berkesudahan.
Pernah berlaku kemalangan membabitkan bas pada Oktober 2019 sehingga meragut nyawa 35 warga asing dan empat lagi cedera.
Ia selepas bas itu bertembung dengan sebuah lagi kenderaan berat berhampiran Madinah.
Haji dan umrah adalah antara komponen terpenting dalam menjana pendapatan sektor pelancongan yang sedang berkembang pesat di Arab Saudi, sekali gus disasarkan dapat mengurangkan kebergantungan ekonomi negara itu terhadap pengeluaran minyak. – Agensi