Perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sepatutnya dijadual berlangsung dua hari lagi ditangguh pada 24 Ogos.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengosongkan perbicaraan 5, 6, 9, 11 dan 13 Ogos ini yang sepatutnya berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Peguam utama Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata penangguhan tersebut ekoran seorang peguam terkesan akibat jangkitan Covid-19.
“Penghujahan lisan (pada akhir kes pendakwaan) ditangguhkan ke 24 Ogos berdasarkan permohonan Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq semalam.
“Alasannya ialah pejabat (seorang peguam dalam pasukan peguam itu) terkesan akibat Covid-19 dan sudah ditutup untuk mengurangkan risiko pendedahan,” kata Hisyam lapor sebuah portal.
Beliau berkata, penghujahan lisan akan diteruskan bulan depan pada tarikh yang ditetapkan sebelum ini.
Pada 19 Mac lalu, pihak pendakwaan menutup kes pada hari ke-53 perbicaraan selepas mengemukakan keterangan 99 saksi.
Saksi terakhir ialah pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Kanan Penguasa Khairudin Kilau, 44.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran ketika itu memaklumkan pihak pendakwaan menawarkan 37 saksi kepada pihak pembelaan.
Mereka termasuk ahli keluarga bekas Timbalan Perdana Menteri iaitu isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis dan anak perempuan mereka Datuk Nurulhidayah.
Saksi-saksi lain termasuk adik Zahid, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi, ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan beberapa pegawai di Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Zahid, 68, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.