Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan satu lagi tuduhan serangan seksual selepas bekas stafnya, Muhammed Yusof Rawther bertindak memfailkan tuntutan saman semalam dan mendedahkan beberapa maklumat yang sensitif dalam tuntutannya terhadap Presiden PKR itu.
Dua tahun lalu Yusoff membuat laporan polis terhadap Ketua Pembangkang itu berhubung tuduhan sama, namun kes tersebut digugurkan Peguam Negara era pentadbiran Pakatan Harapan waktu itu, Tommy Thomas.
“Selanjutnya, disebabkan status defendan (Anwar) pada setiap masa material, khususnya sebagai ‘the prime minister in waiting’ dan juga imej defendan sebagai ‘ikon reformasi’, plaintif tidak mendapat sokongan yang sepatutnya diterima oleh mangsa serangan seksual oleh individu terkemuka,” kata sebuah pernyataan yang difailkan peguam Yusoff, Abd Halim Ushah & Associates di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.
“Sebaliknya, plaintif digambarkan sebagai seorang yang jahat yang kononnya adalah sebahagian daripada komplot untuk menjatuhkan dan/atau merosakkan kerjaya politik defendan..”
Dalam tuntutannya, Yusoff memohon mahkamah mengatakan Anwar itu melakukan serangan seksual, selain gantirugi am, setimpal dan “aggravated damages” yang turut memasukkan kos sesi-sesi terapi yang dihadirinya ketika ini.
“Satu deklarasi bahawa Defendan (Anwar) telah melakukan atau memperlakukan serangan seksual dan/ atau beberapa perbuatan menceroboh ke atas diri Plaintif pada 2.10.2018 dan bahawa Plaintif adalah berhak untuk mendapatkan perlindungan di bawah undang-undang selaras dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, tanpa mengambil kira status Defendan,” kata pernyataan tuntutan relief yang dikemukakan itu.
Terdapat sembilan tuntutan semuanya daripada Yusoff terhadap Anwar, selain menuntut ganti rugi khas RM180 setiap sesi terapi dan yang masih terakru.
Yusoff, yang merupakan cucu kepada aktivis pengguna terkemuka SM Mohamed Idris, berkata dia diperkenalkan kepada Anwar ketika pemimpin PKR itu melawat rumah arwah datuknya di Pulau Pinang pada 2 September 2019, kurang dari empat bulan selepas beliau dikurniakan pengampunan diraja bagi sabitan kes liwat.
Yusoff berkata sepanjang pertemuan tersebut, Anwar memberikan sebuah iPhone untuk dimasukkan butiran kontak, dan menawarkan peluang kerja dengan beliau.
“Kira-kira 20 minit selepas Defendan beredar dari kediaman Plaintif, Defendan telah menghantar servis pesanan ringkas (SMS) meminta Plaintif untuk menghubunginya melalui WhatsApp,” kata pernyataan saman tersebut.
Yusoff kemudian berkata mereka berdua mula berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp,dan kandungan penuh perbualan mereka akan didedahkan dalam perbicaraan.
Yusoff yang bekerja di pejabat banglo Anwar di Bukit Gasing, Petaling Jaya, di mana dia turut diberikan tempat tinggal, berkata dia tidak pernah menerima surat rasmi pelantikan namun diarahkan untuk mendapatkan sebarang tugasan melalui ketua kakitangan Abdul Rahman @ Abdul Manaf bin Abdullah.
Beliau berkata tugas-tugasnya termasuk melaksanakan kajian mengenai polisi, menyediakan ucapan, selain mengendalikan urusan surat-menyurat antara Anwar dan menteri dari luar negara dan usahawan-usahawan terkemuka.
Yusoff berkata dia ditugaskan untuk menyediakan ucapan yang akan disampaikan Anwar bagi sebuah acara sempena memperingati Mahatma Gandhi yang dianjurkan oleh Kedutaan India di Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2018.
Pada tarikh tersebut, Yusoff berkata pengawal Anwar membawa beliau bertemu ahli politik itu dan dia diberitahu oleh setiausaha sulit Anwar, Shukri Saad untuk memberikan sendiri teks ucapan tersebut kepada Anwar.
Beliau berkata, ketika sampai, Anwar mengarahkannya untuk masuk ke dalam rumah bagi “berbincang secara lanjut” mengenai teks ucapan tersebut.
Yusoff berkata mereka kemudian masuk ke dalam perpustakaan di mana Anwar mengarahkannya untuk meletakkan beg di lantai dan kemudian memberikan isyarat supaya menghampirinya.
Yusoff kemudian menyenaraikan 16 tindakan serangan seksual yang dituduh dilakukan oleh Anwar.
Selepas tujuh bulan, Yusoff berkata dia diserang oleh setiausaha politik Anwar Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang kemudian menjadi subjek siasatan jenayah namun didakwa mengambil masa yang terlalu lama olehnya.
Yusoff memfailkan saman sivil berasingan terhadap Farhash menuntut gantirugi kecederaan, selain sebuah saman terhadap setiausaha akhbarnya Tunku Nashrul Tunku Abaidah mengenai tuduhan fitnah.
Dipercayai proses mediasi sedang berjalan antara ketiga-tiga pihak.