PAS membayangkan penolakan total terhadap permainan politik yang mengetepikan fokus utama negara untuk membebaskan rakyat daripada pandemik Covid-19 yang melanda sekarang.
Sebaliknya, PAS mengajak semua pihak tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum untuk sama-sama membantu dan mendukung Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dibuat beberapa jam setelah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pendirian untuk menarik balik serta-merta sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“PAS konsisten menyeru pemimpin dan rakyat meletakkan fokus utama negara untuk menguruskan pandemik COVID-19 ketika ini.
“Penumpuan yang sepenuhnya mesti diberikan bagi menjaga nyawa dan kelangsungan hidup rakyat. Bahkan wajib tolong-menolong tanpa mengira perbezaan agama, dan bangsa.
“PAS juga menyeru rakyat keseluruhannya mesti bersama-sama mendukung Pelan Pemulihan Negara yang sedang dilaksanakan kerajaan,” kata Tuan Ibrahim.
Pada masa sama beliau berkata PAS turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Kanan yang mengetuai Kluster Keselamatan dan mengekalkan portfolio Menteri Luar.
Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rosol Wahid menyifatkan keputusan Zahid itu sekadar melepaskan dirinya kerana gagal mengurus UMNO.
“Nampak sangat keputusan dibuat ada percanggahan pendapat dalam kalangan ahli MT (Majlis Tertinggi),” kata bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu.
Sebelum itu, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kenyataan Zahid tersebut menyeleweng daripada topik perbincangan yang berjalan malam tadi atau dalam erti kata lain yang dibincang tapi lain pula yang keluar dari mulutnya semasa membaca perutusan sidang media itu.
“Sebaik saja Presiden UMNO selesai membuat kenyataan media lewat tengah malam tadi, saya dihubungi beberapa ahli MT yang menyatakan kenyataan media Presiden tidak menggambarkan keputusan mesyuarat MT,” katanya dalam satu kenyataan.
Malah, Annuar mendedahkan hasil daripada maklumat yang diperolehnya, kenyataan media semasa siaran sidang media tersebut sudah dirancang lebih awal sebelum berlangsung mesyuarat MT jam 8.30 malam tadi.