Jepun akan melonggarkan sekatan Covid-19 di sembilan wilayah, termasuk Tokyo, sempena Sukan Olimpik bulan depan, tetapi mengekalkan beberapa langkah kawalan seperti mengehadkan jumlah penonton di mana-mana acara besar.
Langkah itu diambil di tengah-tengah kebimbangan acara sukan dunia itu boleh mencetuskan penularan jangkitan Covid-19 sebagaimana pendapat beberapa pakar kesihatan awam baru-baru ini.
Perdana Menteri Yoshihide Suga yang meminta rakyat Jepun untuk menonton acara Sukan Olimpik menerusi televisyen bagi menghindari penyebaran virus itu, berkata adalah penting untuk mengelakkan peningkatan kes Covid-19 di temasya itu, yang akan bermula pada 23 Julai depan setelah ditunda tahun lalu.
“Yang penting adalah meneruskan dasar sedia ada iaitu keinginan untuk mencegah penyebaran jangkitan. Pada masa yang sama kita harus terus berusaha melaksanakan program vaksinasi bagi mengelak keruntuhan sistem kesihatan,” katanya hari ini.
Terdahulu Suga berkata pihak berkuasa akan melonggarkan sekatan di sembilan wilayah, tetapi akan mengekalkan ‘darurat separa’ di tujuh daripadanya, termasuk Tokyo, sehingga 11 Julai.
Di bawah langkah ‘darurat separa’, restoran dan bar yang sekarang ini dilarang menjual alkohol, akan dibenar berbuat demikian sehingga jam 7 malam dengan syarat mengambil langkah berjaga-jaga terhadap Covid-19.
Media Jepun melaporkan kerajaan menyekat kemasukan pelancong asing untuk menyaksikan acara sukan itu, tetapi membenarkan sehingga 10,000 penonton di dalam stadium ketika sukan diadakan.
Kaji selidik dijalankan menunjukkan kebanyakan rakyat Jepun tetap bimbang terhadap kemungkinan Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan menyebabkan kes Covid-19 meningkat mendadak.
Dengan kadar penurunan jangkitan baharu di Tokyo semakin perlahan dalam beberapa hari kebelakangan ini, beberapa pakar memberi amaran mengenai kemungkinan kes Covid-19 akan meningkat kembali. Mereka menekankan perlunya tindakan lebih cepat bagi mengekang penularannya, kata Menteri Ekonomi Yasutoshi Nishimura.
Ditanya sama ada kerajaan akan meminta Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membatal atau menangguhkan sukan itu walaupun ianya telah dimulakan sekiranya berlaku ke Covid-19 yang mengancam kesihatan dan nyawa, Nishimura berkata: “IOC mempunyai kata-kata akhir”
“Keutamaan kami adalah melindungi kehidupan dan kesihatan. Kami akan melakukan yang terbaik untuk mengawal jangkitan dan menyediakan katil yang mencukupi hospital,” katanya.
IOC dijangka bermesyuarat Isnin depan sama ada akan membenarkan penonton domestik ketika acara diadakan atau tidak, namun merela dilihat akan mengenakan beberapa kawalan termasuk jumlah penonton.
Sebelum ini media melaporkan sekumpulan saintis Jepun, termasuk sesetengahnya bertaraf penasihat kanan berkaitan pandemik Covid-19, memberi amaran membenarkan penonton hadir pada satu-satu acara akan membantu menyebarkan virus sama ada secara domestik atau antarabangsa.
Bagaimanapun, cadangan mereka – menyekat atau mengehadkan jumlah penonton di lapangan – belum lagi dikemukakan kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan kerajaan Jepun, yang setakat ini tidak bersedia menangguhkan acara bertaraf dunia itu buat kali kedua yang akan bermula 23 Julai depan.