Ribuan rakyat Kanada hari ini berarak menyokong satu keluarga Muslim yang dibunuh dalam kejadian rempuhan sebuah pikap Ahad lalu, yang disifatkan oleh Perdana Menteri Justin Trudeau sebagai serangan pengganas.
Empat mangsa daripada tiga generasi terbunuh apabila Nathaniel Veltman, 20, merempuh mereka ketika keluarga itu hendak melintas jalan berhampiran rumah mereka di London. Seorang lagi ahli keluarga itu, budak lelaki berusia sembilan tahun, terselamat tetapi masih dirawat di hospital.
Keluarga mangsa dalam kenyataan memaklumkan mereka yang terbunuh ialah Salman Afzal, 46; isterinya Madiha, 44; anak perempuan mereka, 15, dan nenek mereka berusia 74 tahun, sementara kanak-kanak lelaki yang cedera dikenali sebagai Fayez.
Orang ramai di London, Ontario berjalan kaki tujuh kilometer dari lokasi kejadian rempuhan itu menuju ke sebuah masjid berhampiran, tidak jauh dari tempat letak kereta di mana Veltman ditangkap.
Sesetengahnya membawa poster bertulis ‘kebencian tiada tempat di sini’, dan ‘sayangi melebihi kebencian’.
“Bahagian terbaik bukannya jumlah yang hadir… tetapi kepelbagaian masyarakat yang datang dari setiap komuniti di London… datang bersama-sama untuk sebab ini,” kata pelajar kolej Abdullah al-Jarad, 19 tahun yang turut menyertai perarakan itu.
Selepas beberapa ketika semuanya diam menghormati waktu kejadian itu, wakil daripada beberapa agama memberi ucapan mengutuk sifat kebencian dan memberi dukungan kepada lebih 30,000 komuniti Islam di London.
Perhimpunan lain turut diadakan di Toronto, Ottawa, Montreal dan Quebec, di mana kejadian tembakan di masjid menyebabkan enam terbunuh pada 2017 lalu.
Serangan itu mencetuskan kemarahan di seluruh Kanada, dengan ahli politik daripada semua parti mengutuk jenayah, sambil mendesak tindakan keras diambil bagi menghalang jenayah kebencian dan Islamophobia.
Veltman dihadapkan ke mahkamah pada Khamis dan akan dibawa sekali lagi ke hadapan hakim Isnin ini. Dia dituduh melakukan empat pembunuhan kelas pertama dan satu cubaan membunuh. – Agensi
Rempuhan kereta bunuh 4 warga Muslim kerana kebencian: Polis