Rumah lelong naik 20% : laporan

July 11, 2023 · Isu semasa

Rumah lelong di negara ini meningkat 20% akibat kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sejak Mei 2022 yang menyebabkan ramai peminjam berdepan masalah bayaran balik, lapor Utusan.

Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (Peham), Ishak Ismail berkata situasi ini sudah lama dijangka dan diramalkan akan meningkat dari semasa ke semasa apabila peminjam tidak mampu lagi melunaskan bayaran bulanan.

Katanya, jurulelong memaklumkan peningkatan 10% hingga 20% dialami sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat pandemik Covid-19.

“Pasaran lelong memang kita jangka meningkat. Sejak November tahun lepas pihak bank sudah memulakan prosedur untuk mendapatkan perintah kawalan secara lelongan awam daripada pihak mahkamah atau pejabat tanah.

“Jadi ini merupakan fenomena yang sudah dijangka oleh kerana kenaikan OPR dan kemampuan peminjam membayar sudah tidak seperti sebelum PKP lagi kerana kebanyakan mereka hilang pekerjaan akibat penutupan beberapa industri.

“Ini menyebabkan mereka tidak mampu meneruskan pembayaran, pihak bank pun tidak ada jalan lain selain daripada proses lelongan awam untuk mendapatkan kembali pinjaman mereka daripada peminjam.

“Proses ini akan berterusan dalam dua tahun ke depan di mana jumlah lelongan awam akan meningkat,” katanya lapor Utusan.

Sebelum ini, Utusan turut mendedahkan setiap hari sebanyak 15 aduan rumah mahu dilelong diterima apabila peminjam berdepan kesulitan membayar balik bayaran ekoran peningkatan OPR.

Terbaharu pada Mei lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM membuat keputusan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Kenaikan itu adalah kali kelima bermula Mei, Julai, September dan November pada tahun lalu sebelum dikekalkan kepada 2.75 peratus pada mesyuarat pertama 2023 MPC Januari lalu dan sekali lagi kekal pada Mac.

Ishak berkata, keadaan ini menyebabkan penjual menghadapi kesulitan untuk menjual rumah apabila sukar mendapatkan peminjam yang benar-benar layak dalam memenuhi syarat ditetapkan oleh pihak bank.

Jelasnya, ia menyebabkan sekitar 70 peratus individu yang ingin membeli rumah tidak layak membuat pinjaman kerana tidak cukup syarat apabila nisbah khidmat hutang (DSR) kini berdasarkan gaji bersih, bukan lagi kasar.

“Ini merupakan cabaran yang besar dalam kalangan ejen hartanah, ia berpunca daripada beberapa syarat ditetapkan oleh pihak bank agak ketat untuk peminjam melayakkan diri mendapatkan pinjaman

“Jika dahulu kita (ejen hartanah) membawa lima potensi pembeli, empat akan mendapat pinjaman tetapi sekarang jika bawa lima pembeli kemungkinan hanya satu atau dua pembeli yang layak,” katanya.

Ishak berkata, permintaan terhadap perumahan mampu milik iaitu RM500,000 ke bawah masih lagi memberangsangkan, berbeza dengan perumahan kelas pertengahan dan tinggi yang mengalami masalah kadar serapan sangat perlahan.

“Ini terutama melibatkan rumah melebihi RM600,000. Sebab itu sekarang ni kita dapat lihat trend pihak pemaju adalah merancang perumahan rumah mampu milik kerana hanya itu mendapat permintaan tinggi,” jelasnya.

Tambahnya, beberapa usaha boleh dilakukan oleh kerajaan dan pihak bank bagi memudahkan masyarakat membeli rumah dan membuat pembayaran.

“Pihak bank perlu beri pertimbangan kepada mereka yang ingin membeli rumah, bank perlu memudahkan pinjaman. Mungkin tempoh pembayaran boleh dipanjangkan ke 40 tahun, jadi bayaran bulanan dapat dikurangkan

“Malah konsep sewa untuk miliki (RTO) harus diperluaskan dan mendapat sokongan bank. Jika mekanisme ini mendapat sokongan kerajaan, sudah tentu akan merancakkan kembali pasaran harta tanah,” katanya.

Berita berkaitan
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024· Isu semasa
Kejatuhan nilai ringgit, Mat Maslan kata didorong faktor luaran
October 23, 2023· Isu semasa
Ketika rakyat sudah dibebani harga barang naik, caj QR DuitNow jadi pertikaian
September 29, 2023· Isu semasa
Perbelanjaan pengguna merosot pada 2023?
August 29, 2023· Isu semasa
Popular
Kenapa generasi muda semakin hilang adab?
February 14, 2023
Dulu kempen tangkap, sekarang kerajaan Anwar sambung kontrak Azam
May 10, 2024
Pahang tangguh buka semula Tioman, Genting Highlands
September 28, 2021
Dua sungai di Pahang, Kelantan catat paras bahaya
December 14, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Rosmah disaman 1MDB AS$346 juta, tuntut pulangkan barang mewah
May 10, 2024 · Isu semasa
Dulu kempen tangkap, sekarang kerajaan Anwar sambung kontrak Azam
May 10, 2024 · Isu semasa
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
May 3, 2024 · Isu semasa
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024 · Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok