
Dua belas sungai di enam negeri mencatat bacaan paras air melebihi tahap waspada, hari ini (14 Disember 2022).
Dua sungai di Pahang dan Kelantan hari ini (Rabu, 14 Disember 2022) mencatat bacaan paras air melebihi tahap bahaya, susulan hujan lebat yang berlaku sejak beberapa hari lalu.
Menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), stesen pengukur Jalan Kota Bahagia, Rompin, Pahang mencatat paras air Sungai Keratong sedalam 11.06 meter (m) sehingga jam 10.45 pagi ini, berbanding 8.60m paras normal.
Manakala, paras air di Sungai Golok di stesen pengukur Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan, pula mencatat 9.25m berbanding 5.00m paras normal.
Sehingga jam 7 pagi tadi, tujuh PPS dibuka di Pasir Mas bagi menempatkan 2,018 mangsa daripada 635 keluarga yang terjejas akibat banjir di beberapa mukim.
Sementara itu, 11 lagi sungai di empat negeri iaitu lima di Pahang, dan masing-masing dua di Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak, pula mencatat bacaan melebihi tahap amaran.
Pada masa sama, 12 sungai di enam negeri mencatat bacaan paras air melebihi tahap waspada.
Sembilan daripadanya dilaporkan di Pahang; diikuti Negeri Sembilan (dua) dan masing-masing satu di Johor, Sarawak, Selangor dan Terengganu.