Penyebaran fitnah dikalangan penyokong pembangkang semakin tidak terkawal, terbaharu Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjadi mangsa selepas tular di media sosial gambarnya memakai jubah yang dikaitkan dengan kumpulan tertentu.
Sejak kelmarin, Noor Hisham dikaitkan dengan upacara Freemasons dan keagamaan apabila gambar beliau memakai jubah telah tular di media sosial.
Gambar yang ditular dikalangan penyokong pembangkang tersebut sebenarnya adalah semasa beliau menerima penghargaan oleh pihak Royal College of Surgeons of Edinburgh itu diambil pada tahun 2018.
Bagaimanapun, Kolej Diraja Pakar Bedah Edinburgh (RCSEd) tampil membuat penjelasan dengan kenyataan rasmi berhubung anugerah ijazah kehormat, The Fellowship Ad Hominem yang diberikan kepada Noor Hisham yang dikaitkan dengan upacara Freemason.
“Alhamdulilah pihak Royal College of Surgeons Edinburgh telah pun mengeluarkan kenyataan rasmi pada hari ini.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Professor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid atas pencerahan ini,” kata Noor Hisham dalam kenyataan di akaun Facebooknya.
Sementara itu, Ketua Penglibatan Antarabangsa RCSEd, Mariette Naud-Betteridge berkata, anugerah Fellowship Ad Hominem adalah satu daripada penganugerahan tertinggi oleh kolej tersebut kepada Noor Hisham.
“Penghargaan itu diberikan kepada bekas pengamal perubatan atau yang masih berkhidmat atau individu yang mempunyai status profesional bertaraf tinggi serta dianggap layak mendapat penghormatan.
“Anugerah itu diberikan secara rasmi dalam upacara yang dihadiri oleh anggota kolej dan penerima perlu memakai jubah istiadat kolej pada majlis penyampaian anugerah,” jelasnya dalam kenyataan tersebut.
Tambahnya, Noor Hisham dianugerahkan Fellowship Ad Hominem oleh Jawatankuasa Anugerah RCSEd pada 12 Oktober 2017 sebelum disampaikan Presiden Kolej, Mike Lavelle-Jones pada 2 Februari 2018 bagi mengiktiraf pencapaian beliau dalam bidang perubatan dan pembedahan serta sokongannya selama bertahun-tahun terhadap kolej itu.