Pejuang menyifatkan konsep Rahmah yang diperkenalkan kerajaan campuran sebagai menyimpang daripada landasan sebenar.
Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA), Mahdzir Ibrahim mempertikaikan konsep diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperkenalkan menu makan, simen dan tol Rahmah baru-baru ini.
“Kesimpulannya naratif Rahmah ini sebenarnya bukan cetusan idea Kerajaan Madani apatah lagi Anwar seperti yang digembar-gemburkan.
“Maka, naratif ini perlu diperbetulkan kerana gagasan Rahmah tidak memerlukan Menu Rahmah, Simen Rahmah, Tol Rahmah dan sebagainya. Gagasan Rahmah dalam konteks pelaksanaanya adalah suatu pendekatan sistem pentadbiran yang lebih bermaruah dan manusiawi.
“Namun apabila gagasan Rahmah ini sampai ke tangan Madani, ia menjadi seperti idea 1Malaysia hingga pelekat, poster, ayat dan segala benda di‘rahmah’kan.
“Saya harap, naratif Rahmah ini dikembalikan kepada fungsi asalnya iaitu menjadikan pentadbiran kerajaan lebih bermaruah, berintegriti dan manusiawi. Kerajaan Madani boleh memperbetulkan naratif ini, jika mereka mahu,” katanya dalam catatan di akaun Facebook.
Menurutnya lagi, konsep Rahmah yang diperkenalkan itu sama juga dengan 1Malaysia dengan semua perkara hendak dinamakan bermula daripada tong sampah, klinik, pasar raya hingga ke sebutan Salam 1Malaysia.
“Rahmah telah dan sedang digambarkan sebagai idea Anwar di bawah konsep Madani. Bagi saya naratif ini satu kesilapan yang mencolok mata, malah ia jatuh ke tahap pembohongan intelektual yang melampau dan tidak tahu malu.
“Saya ingin beri sedikit pencerahan agar dapat membantu memperbetulkan naratif Rahmah ini. Kerana apa? Apabila kita sedar naratif ini berasal dari mana, ke mana dan untuk apa, maka kita akan dapat menghayati maksud sebenar Rahmah.
“Rahmah bermula oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Lebih tepat lagi, gagasan baharu ini disebut oleh Dr. Mahathir dalam ucapan perasmian Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu pada 16 Februari 2020,” katanya lagi.