Krisis kepemimpinan Parti Bangsa Malaysia (PBM) kembali bergolak setelah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selesai, apabila pemimpin kanannya yang beroperasi di Semenanjung kekal menolak Presidennya Datuk Larry Sng dari Sarawak.
Menjelang PRU lalu, krisis dalaman parti itu selesai setelah pemimpin di Semenanjung ‘mengiktiraf’ Larry Sng, yang akan menandatangani watikah calon, sebagai presiden.
Terbaharu, Timbalan Presiden PBM Haniza Talha sekali lagi mendesak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menyiasat dengan teliti kesahihan Larry Sng yang juga Ahli Parlimen Julau sebagai presiden parti.
Haniza, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, Selangor berkata kepimpinan tertinggi parti “menolak sepenuhnya” Sng sebagai presiden dan meminta siasatan terperinci dilakukan oleh ROS.
“Kami mendesak pihak ROS menyiasat kesahihan Larry Sng sebagai presiden selepas Persidangan Agung Tahunan memutuskan Datuk Zuraida Kamaruddin mengambil alih jawatan tersebut,” katanya menurut FMT.
Haniza mendakwa Sng menggunakan PBM sebagai “batu loncatan” untuk mendapatkan pengaruh dan jawatan di peringkat nasional dan tidak memaparkan langsung nilai-nilai yang dipegang oleh parti.
Kenyataan beliau menyusuli kritikan Zuraida semalam terhadap cara Sng menguruskan parti yang disifatkan sebagai “tidak matang dan angkuh”.
Zuraida mendakwa majoriti akar umbi tidak bersetuju dengan tindakan Sng yang dilihat dangkal selepas sering mendedahkan hal kerahsiaan parti di media sosial.
“Ini termasuk tindakan beliau yang sebelum ini telah mengugut pemimpin-pemimpin lain dengan menggunakan kuasa beliau untuk menandatangani watikah sebelum PRU-15 yang lepas,” katanya.
Katanya, Sng sepatutnya menyerahkan tampuk tertinggi parti kepadanya memandangkan perjanjian sudah dibuat ketika beliau menyertai parti itu pada Jun.
“Perkara juga telah diabsahkan melalui usul di dalam Mesyuarat Agung Tahunan parti di peringkat nasional, tetapi setelah PRU15 berlangsung Sng seolah-olah memungkiri janji,” katanya.
Pada 30 Oktober lalu, ROS mengesahkan Larry masih lagi Presiden PBM berdasarkan rekod yang ada di jabatan itu.
Ketua Pengarahnya, Mohd Nawardi Saad berkata berdasarkan rekod, Larry masih Presiden dan jika ada pertikaian mengenai jawatan itu, ia perlu diselesaikan di peringkat parti.
Katanya, pertikaian mengenai jawatan presiden itu adalah hal dalaman parti dan tidak membabitkan ROS.