Dakwaan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengatakan PAS menggunakan alasan banjir untuk menolak pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) adalah tidak benar, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.
Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan menjelaskan keutamaan parti itu sekarang adalah menyelesaikan baki manifesto yang dijanjikan sebelum ini kepada rakyat memandangkan musim tengkujuh semakin hampir tiba.
“Kita mempunyai pandangan sendiri berhubung pilihan raya iaitu kita lebih fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat terutama menyempurnakan manifesto kita.
“Kalau kita buat (PRU15) tahun ini, kita masih ada lagi berbaki program tapi kalau buat tahun depan, musim pun (sudah) tidak tengkujuh, bulan tiga atau empat, Insya-Allah dapat selesaikan keseluruhan manifesto yang janji dengan rakyat,” katanya dipetik laporan BH.
Kelmarin, Nur Jazlan dalam kenyataannya mendakwa PAS takut arus politik semasa menghanyutkan dan menghancurkan kuasa serta pengaruh parti itu sekiranya PRU-15 disegerakan.
Dakwanya lagi, PAS akan cuba menggunakan pelbagai taktik dan alasan untuk melambat-lambatkan PRU-15 supaya dapat mengukuhkan kedudukan mereka.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata jika PRU-15 tetap dijalankan pada tahun ini, Kelantan berdepan kesukaran kerana dalam masa yang sama perlu menangani fenomena Monsun Timur Laut.
Pusat mengundi di sekolah juga akan bertambah berikutan pengundi 18 tahun sekali gus mana-mana sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mungkin turut terbabit dalam PRU15.
“Beberapa sekolah contohnya di Pasir Pekan, dulu tak jadi pusat untuk memilih tapi apabila yang umur 18 tahun jadi pengundi secara automatik maka penambahan berlaku di pusat mengundi.
“Ini berlaku skali dengan banjir, di mana nak letak mereka yang terbabit banjir? Ini yang kita fikir.
“Bagi (kerajaan) Persekutuan pun masalah untuk mengawasi saluran (mengundi), polis ramai kita guna dan terpaksa tambah lagi, mana nak jaga banjir, keselamatan dan pilihan raya, itu sebenarnya,” katanya lagi.