Jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam, Selasa (17 Mei 2022) turun lagi, namun penerima vaksin dos penggalak kekal menjadi penyumbang tertinggi kes baharu.
Dalam tempoh semalam, sebanyak 1,469 jangitan baharu dilaporkan, turun 228 kes berbanding 1,697 yang dicatat pada Isnin.
Jumlah itu menjadikan kumulatif positif sejak pesakit pertama dikesan dijangkiti Covid-19 di Malaysia pada 25 Januari 2020, meningkat kepada 4,481,278 kes – ketiga tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Vietnam dan Indonesia.
Pada masa sama seramai 4,415,146 pesakit telah pulih, termasuk 1,836 yang disahkan sembuh semalam, sementara 30,509 kes masih aktif.
Sehingga semalam seramai 29,271 pesakit di seluruh negara masih menjalani kuarantin di rumah; 20 ditempatkan di PKRC; 1,182 dimasukkan ke hospital; dan 36 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 17 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Daripada 1,469 kes baharu semalam, 972 melibatkan individu yang telah menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19; 304 kes telah menerima dua dos; 170 kes membabitkan individu tidak divaksinasi; dan 23 kes individu belum lengkap vaksinasi.
Data laman sesawang CovidNOW menunjukkan enam negeri merekodkan peningkatan jangkitan semalam, dengan Negeri Sembilan mencatat 112 kes baharu, berbanding 50 kes pada Isnin.
Perak mencatat 95 kes baharu berbanding 78 pada Isnin; Kedah (59 kes, 47 Isnin); Sarawak (29 kes, 25 Isnin); Labuan (enam kes, empat Isnin); dan Perlis (lima kes, sifar kes pada Isnin).
Sementara itu, Kementerian Kesihatan juga memaklumkan tiga lagi pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam, termasuk dua daripadanya melibatkan kematian di luar fasiliti kesihatan atau kes BID atau ‘brought in death’.
Tiga kematian itu dicatatkan masing-masing di Kedah (BID), Melaka (BID) dan Perlis.
Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian akibat Covid-19 sejak 17 Mac 2020 hingga semalam meningkat sedikit kepada 35,623 kes, termasuk 7,545 kes BID.