DAP bersedia kemungkinan Parlimen akan dibubarkan pada Ogos akan datang, menurut setiausaha agungnya Anthony Loke Siew Fook.
Siew Fook berkata ketika ini, terdapat percanggahan pendapat dikalangan parti-parti dalam blok kerajaan berkenaan garis masa Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).
Tegas beliau, perkara utama bagi PH ialah pelaksanaan semua komitmen kerajaan yang termaktub dalam MoU itu, terutamanya penggubalan Akta Anti Lompat Parti sebelum Parlimen dibubarkan.
“Dalam Pemukiman DAP Pusat baru-baru ini, pucuk pimpinan parti telah mengarahkan supaya seluruh jentera pilihan raya DAP mesti bersiap siaga sepenuhnya menjelang bulan Ogos 2022.
“Dalam apa keadaan sekali pun, saya yakin bahawa DAP dan PH bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pembubaran Parlimen pada awal bulan Ogos akan datang,” Siew Fook berkata dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Seremban tersebut bagaimanapun menyatakan bahawa ketetapan yang diambil Majlis Tertinggi UMNO untuk tidak meneruskan MoU dengan PH selepas 31 Julai 2022 adalah urusan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan partinya itu.
“Perlu ditegaskan bahawa MoU tersebut adalah persefahaman di antara PH dengan kerajaan Persekutuan dan bukannya dengan pucuk pimpinan UMNO. Pihak kami tidak terikat dengan apa-apa keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
“Sebarang keputusan dan isu berkenaan MoU tersebut perlu dibincangkan secara rasmi di antara Perdana Menteri mewakili Kerajaan Persekutuan yang ditadbir oleh pelbagai parti dengan kepemimpinan tertinggi PH,” katanya.
Khamis lalu, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan untuk tidak meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) selepas tamat pada 31 Julai ini.
Perkara tersebut diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kenyataan susulan dari mesyuarat tertutup MT UMNO yang dipengerusikan oleh presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Keputusan tersebut sekaligus menghangatkan lagi spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 lebih awal.