Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari membangkitkan persoalan sama ada kuasa parti politik akan menjadi lebih tinggi daripada Yang di-Pertuan Agong dalam memilih Perdana Menteri (PM), jika undang-undang antilompat parti dilaksanakan.
Membahas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini (11 April), beliau memberi contoh Ahli Parlimen (MP) yang mewakili sesebuah parti politik dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menjadi PM.
“Yang di- Pertuan Agong memilih MP itu sebagai PM yang difikirkan mempunyai kelayakan ataupun kepercayaan dan majoriti. Kebetulan pula MP yang dipilih itu bukan ketua parti,” katanya.
Menurutnya apabila parti memecat MP itu daripada parti maka beliau akan kehilangan kerusi Parlimen sekali gus tidak boleh lagi menjadi PM.
“Dalam hal ini menyebabkan PM itu sudah tidak jadi Ahli Parlimen. Dan sudah hilang kelayakan sebagai PM. Adakah itu bermaksud bahawa kuasa parti telah pun mengatasi kuasa Yang di-Pertuan Agong pada ketika itu untuk memilih PM?
“Situasi ini perlu untuk kita tangani, walaupun nampak macam mustahil tetapi ia boleh berlaku dan pada hari ini pun ia boleh berlaku kalau ia nak berlaku sekiranya pindaan ini diluluskan. Itu senario yang perlu untuk difikir,” katanya.
Untuk rekod, PM sekarang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukanlah ketua sebuah parti politik sebaliknya hanya Naib Presiden UMNO, manakala ketuanya ialah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden serta Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hassan.
Yang di-Pertuan Agong melantik Ismail Sabri menduduki kerusi PM kesembilan setelah mendapat sokongan majoriti MP daripada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PN turut memberi contoh dan persoalan sekiranya jumlah kerusi di dalam Dewan Rakyat sama banyak iaitu masing-masing 111 kerusi.
“Pada ketika itu untuk membentuk kerajaan mana-mana ahli blok perlu untuk mengundi blok yang bertentangan bagi membolehkan Perdana Menteri untuk dilantik.
“Adakah ketika itu, MP yang telah membuat keputusan memberi sokongan, telah melanggar pertauran partinya dan beliau boleh dipecat sebagai MP?,” soalnya.
Dalam perbahasan itu, Ahmad Fadhli juga menyatakan pendirian menyokong Ismail Sabri terus dikekalkan sehingga ke akhir penggal bagi memberikan laluan kepada agenda-agenda yang lebih penting untuk rakyat.
Ismail Sabri juga katanya, diharap tidak tunduk kepada usaha-usaha untuk mengadakan pilihan raya dengan segera yang tidak memberikan manfaat pun kepada negara.