Polis sedang memburu seorang lelaki separuh bogel bagaikan ‘orang minyak’ yang berkeliaran di kawasan perumahan di sekitar Shah Alam, dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah semalam (8 April).
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 3.30 pagi di sebuah rumah di Seksyen 20 ketika mangsa, seorang wanita sedang tidur bersama anak perempuannya di ruang tamu rumah.
Mangsa dikatakan tersedar apabila terdapat cahaya silau mengenai matanya menyebabkan mangsa terjaga dan menjerit apabila terlihat kelibat suspek.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal IbrahimĀ berkata jeritan mangsa menyebabkan suspek berlari keluar.
“Suami mangsa yang tersedar bergegas keluar dari dalam bilik tidur mendapatkan isterinya, namun mendapati suspek sudah tiada,” katanya dalam kenyataan semalam.
Namun suspek dipercayai sempat melarikan wang tunai RM1,600.
Terdahulu, suspek juga dikatakan berkeliaran di sekitar kawasan perumahan di Seksyen 19 juga di Shah Alam, namun dapat dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Dalam klip video itu suspek berkulit gelap memakai pelitup muka tidak berbaju dan seluar dilihat meninjau-ninjau di belakang sebuah rumah kira-kira jam 1.05 pagi.
Sehubungan itu Mohd Iqbal berkata mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Mohd Shafarulrazi di talian 010-8889910 atau 03-55202222.