Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman akan membuat laporan polis terhadap seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Hj Abu Hanifah yang menyiarkan nombor telefon miliknya kepada umum dipercayai tidak berpuas hati berhubung artikelnya bertajuk ‘Musuh kita Covid & kluster mahkamah’.
Faiz membidas tindakan Armand yang menyiarkan satu tangkap layar posting beliau di Twitter sambil memaparkan no telefon miliknya secara terbuka tanpa izin.
“Berdasarkan fitnah dan provokasi di atas, saya meneliti untuk membuat laporan kepada pihak polis dan SKMM agar tiada pihak cuba menangguk di air yang keruh dan mengapi-apikan sentimen yang langsung tidak membabitkan akar umbi serta majoriti pemimpin antara kedua-dua parti Melayu terbesar di negara ini iaitu UMNO dan Bersatu.
“Saya juga menyedari bahawa seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bernama Datuk Armand Azha Hj Abu Hanifah melalui akaun Facebook nya atas nama Armand Azha telah menyiarkan satu tangkap layar posting saya di Twitter sambil memaparkan no telefon saya secara terbuka tanpa izin, dengan niat memprovokasi agar pengikut media sosialnya menghubungi dan menganggu saya.
“Ini merupakan satu kesalahan berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia dan Akta Perlindungan Data Peribadi yang boleh dihukum denda antara RM50,000 hingga RM100,000 atau penjara jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga mendakwa wujud pihak tertentu yang memalsukan kenyataannya dan sengaja ditularkan bertujuan untuk melaga-lagakan akar umbi Bersatu dengan UMNO.
“Salah satu laman ‘group’ di Facebook yang terawal menyiarkan kenyataan palsu tersebut ialah ‘Friends of UMNO’ oleh satu akaun atas nama Salmah Kadir. Kenyataan itu ditambah dengan satu ayat tajuk baru ‘Faiz Numan fitnah H20 rancang bubar UMNO’.
“Berdasarkan isi kenyataan palsu itu, saya yakin ia bertujuan untuk melaga-lagakan antara akar umbi UMNO dengan Bersatu dan juga memfitnah Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein,” katanya lagi.
Beliau percaya kenyataan palsu itu dibuat susulan artikel beliau dalam Malaysiakini dengan tajuk ‘Kluster mahkamah ini binatang politik – pemimpin Bersatu’, sedangkan tajuk sebenar ialah ‘Musuh kita Covid & kluster mahkamah’.
Beliau turut mempertahankan istilah ‘binatang politik’ dalam tulisannya adalah definisi yang biasa digunakan dalam ilmu sains politik serta sains sosial dan kini ditafsirkan sebagai ‘sebagai seseorang yang mempunyai kecenderungan politik yang berlebihan dan diluar batas’, bukannya kata kesat dan hinaan.
Faiz berkata, dalam tulisannya itu beliau juga tidak menyebut mana-mana individu atau parti politik apabila menggunakan istilah ‘kluster mahkamah’.