Pertubuhan Muslim United Kingdom (UK) membuka pusat vaksinasi sementara yang menawarkan vaksin Covid-19 selepas berbuka puasa, pada Ramadan kali ini bagi sesiapa yang berpendapat suntikan boleh membatalkan puasa mereka.
Pusat itu yang dibuka pada Jumaat lalu, mula menawarkan perkhidmatan berkenaan di klinik sementara di Sutton, selatan London.
Kempen vaksinasi itu dianjurkan oleh pertubuhan Muslim terbesar di UK, Majlis Muslim Britain dan Persatuan Perubatan Islam British, dengan sokongan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) Britain.
Dr Kashif Aziz dari Pusat Perubatan Sutton berkata, sesetengah umat Islam berpendapat mengambil suntikan boleh membatalkan puasa mereka.
“Kami tidak mahu ada individu yang tertinggal daripada program vaksinasi ini hanya kerana berpendapat suntikan akan membatalkan puasa.
“Sebab itu kamu mewujudkan klinik sementara, selain terdapat beberapa kebimbangan dalam masyarakat,” katanya.
UK menyaksikan lebih 127,000 kematian akibat pandemik Covid-19 baharu sahaja memansuhkan perintah berkurung.
Perintah berkurung terbaharu di UK bermula 5 Januari lalu selepas negara itu mengesan varian baharu Covid-19 yang lebih cepat merebak sehingga menyumbang kepada peningkatan jangkitan harian dan kematian.
Negara itu juga telah memulakan kempen vaksinasi secara meluas dan setakat ini 32 juta penduduknya sudah menerima dos pertama dan 8.5 juta lagi menerima dos kedua. – Agensi