Tiga kajian terkini di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan bahawa dos ketiga vaksin mRNA adalah kunci untuk memerangi varian Covid-19, Omicron, memberikan perlindungan 90 peratus terhadap kemasukan ke hospital, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Kajian diketuai sendiri CDC, adalah antara yang pertama di AS untuk melihat kesan dos penggalak terhadap varian Omicron yang pantas menjangkiti dan kini menyumbang 99 peratus daripada semua kes baharu Covid-19.
Secara keseluruhannya, kajian itu mencadangkan bahawa dos penggalak membantu melindungi daripada jangkitan dan simptomatik.
Individu dewasa berumur 50 tahun dan ke atas mendapat manfaat paling banyak daripada dos tambahan vaksin yang dibuat oleh Pfizer-BioNTech atau Moderna.
“Perlindungan terhadap jangkitan dan kemasukan ke hospital daripada varian Omicron adalah tertinggi bagi mereka yang mengambil dos penggalak,” kata Pengarah CDC Rochelle Walensky dalam taklimat kepada White House pada Jumaat.
Seperti yang telah ditunjukkan di negara lain, dos penggalak vaksin menunjukkan prestasi yang lebih baik terhadap varian Delta daripada Omicron, versi virus Sars-CoV-2 yang sangat bermutasi yang telah dapat mengelak imuniti daripada vaksin dan jangkitan terdahulu.
Salah satu kajian, yang diterbitkan pada Jumaat dalam Laporan Mingguan Morbiditi dan Kematian CDC, melihat kadar kemasukan ke hospital, dan jabatan kecemasan di 10 negeri antara 26 Ogos 2021 dan 5 Januari 2022.
Agensi itu mendapati bahawa perlindungan daripada dua dos vaksin turun kepada 57 peratus bagi individu yang menerima suntikan kedua sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal. Dalam kalangan penerima dos penggalak, kadar perlindungan daripada kemasukan ke hospital dan kes kecemasan adalah 90 peratus.
Kajian lain yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Jama, penyelidik menyemak data 23,391 kes Covid-19 yang disebabkan oleh sama ada varian Delta atau Omicron dalam kalangan individu yang melakukan ujian saringan antara 10 Disember 2021 dan 1 Januari 2022.
Penyelidik mendapati dalam kalangan individu yang memerlukan ujian simptom seperti Covid-19, mereka yang telah menerima tiga dos vaksin mRNA mempunyai perlindungan tertinggi daripada jangkitan berbanding mereka yang mendapat dua dos atau tidak divaksinasi.
Disebabkan oleh sela masa pengambilan dos penggalak AS, kebanyakan individu dalam kajian itu telah divaksin dalam masa sebulan selepas melakukan ujian.
Data dari Britain menunjukkan bahawa peningkatan perlindungan antibodi yang diperoleh daripada dos penggalak berkurangan selepas 10 bulan, jadi tidak jelas berapa lama manfaat itu akan bertahan.
Sesetengah negara telah mula menawarkan dos penggalak tambahan, tetapi kajian terbaru dari Israel menunjukkan bahawa sementara dos keempat vaksin mRNA meningkatkan antibodi, tahap itu tidak cukup tinggi untuk mencegah jangkitan varian Omicron.
Namun, terdapat juga persepsi sesat dalam kalangan sesetengah rakyat Amerika bahawa jika anda masih boleh dijangkiti, mengapa perlu bersusah payah mengambil dos penggalak?
Menurut CDC, hanya 82.5 juta, atau 39.3 peratus, rakyat Amerika yang diberi vaksin sepenuhnya telah menerima dos penggalak Covid-19. – Agensi