Kementerian Luar mengesahkan Indonesia tidak membuat sebarang kenyataan menuntut kedaulatan Tubir Selatan (South Ledge) seperti didakwa sebuah artikel terbitan Defence Security Asia (DSA).
“Indonesia Dakwa Tubir Selatan (South Ledge), Karang Singa Miliknya. M’sia Bagaimana?”. Demikian tajuk laporan DSA yang memaklumkan mereka memetik laporan portal berita Indonesia Detik.com.
Mengikut laporan Detiknews Menteri Dalam Negeri Indonesia Muhammad Tito Karnavian telah meninjau kawasan Pulau Karang Singa di Kabupaten Bintan.
Detiknews memetik menteri itu sebagai berkata:
“Kami ke Kepri (Kepulauan Riau) tujuan nomor satu adalah untuk melihat dua karang penting yaitu Karang Singa. Mengapa? Karena letaknya di Selat Malaka dan masuk wilayah teritorial kita,” kata Tito dalam keterangan tertulis, Minggu (16/1/2022).
Bagaimanapun, Bernama melaporkan Wisma Putra semalam telah menghubungi pihak Indonesia berhubung perkara itu.
“Kementerian Luar telah mengesahkan perkara itu dengan pihak Indonesia. Kementerian dimaklumkan bahawa Menteri Dalam Negeri Indonesia tidak membuat sebarang kenyataan menuntut kedaulatan terhadap Tubir Selatan seperti yang dilaporkan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kementerian turut memetik penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) 2008 mengenai Kes Berkenaan Kedaulatan ke atas Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge), lapor Bernama.
“Mengenai isu kedaulatan ke atas Tubir Selatan, penghakiman berbunyi “… Tubir Selatan terletak di dalam perairan wilayah yang bertindih yang dijana tanah besar Malaysia, Pedra Branca/Pulau Batu Puteh dan Middle Rocks…” dan “.…kedaulatan terhadap Tubir Selatan, permukaan yang muncul ketika air surut, kepunyaan negara di perairan wilayah di mana ia berada.”
Berikutan Penghakiman ICJ, Malaysia dan Singapura telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Antara Malaysia-Singapura bagi melaksanakan Penghakiman ICJ ke atas Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan (MSJTC).
“Di bawah MSJTC, Malaysia kekal komited menyelesaikan isu sempadan maritim yang tertunggak antara kedua-dua negara dan akan memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia dilindungi,” kata kenyataan itu.