PAC diberitahu kerajaan jual tanah kepada BNM bayar hutang 1MDB

December 13, 2021 · Isu semasa

Penjualan Tanah Geran 18335, Lot 41, Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur (Tanah Lot 41) kepada Bank Negara Malaysia (BNM) oleh kerajaan melalui Syarikat SPV Hartanah Mampan Sdn Bhd adalah untuk tujuan pendanaan pelan rasionalisasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh berkata pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion dibuat BNM pada 19 Dis 2017 (RM1.035 bilion) dan 27 Dis 2017 (RM1.035 bilion), dengan hasil jualan itu telah digunakan untuk tujuan pembayaran di bawah pelan rasionalisasi 1MDB pada 31 Dis tahun sama, lapor Bernama.

PAC yang menjalankan mesyuarat prosiding berhubung isu tanah itu pada 20 Sept lepas, antara lain merumuskan BNM tidak pernah merancang membeli Tanah Lot 41 sebelum tawaran dikemukakan oleh Kementerian Kewangan (MOF).

“Perancangan perolehan Tanah Lot 41 tidak wujud dalam perancangan strategik tahunan BNM bagi tempoh 2015 hingga 2017 walaupun BNM menyatakan tujuan pembelian adalah untuk membangunkan hab pendidikan perkhidmatan kewangan untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wong berkata tiga saksi dipanggil pada mesyuarat prosiding berkenaan iaitu Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi) Patimah Ramuji, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Asri Hamidon dan Gabenor Bank Negara Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Hasil prosiding itu juga PAC mendapati BNM tidak melaksanakan usaha wajar secukupnya dalam pembelian Tanah Lot 41, selain Lembaga Pengarah BNM membuat keputusan untuk membeli tanah lot itu dalam masa sembilan hari selepas perbincangan dengan MOF pada 15 Ogos 2017, dan tiga hari selepas tawaran dikemukakan oleh MOF pada 21 Ogos tahun sama.

“Transaksi perolehan diselesaikan dalam tempoh yang singkat iaitu empat bulan. Kesemua itu membangkitkan keraguan sama ada BNM menghadapi tekanan daripada pihak kerajaan dalam membuat keputusan,” kata Wong.

PAC turut merumuskan harga perolehan Tanah Lot 41 berjumlah RM2.07 bilion berdasarkan penilaian yang dilaksanakan Tetuan Suleiman & Co adalah tinggi.

“Penilaian JPPH (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Malaysia) yang berdasarkan status hak milik yang sedia ada iaitu Kategori Kegunaan Tanah “Tiada”, Syarat Nyata “Tiada” dan zoning institusi dengan nisbah plot 1:2 adalah sebanyak RM1,421,650,000,” katanya.

Wong memaklumkan pembayaran harga perolehan RM2.07 bilion adalah tidak wajar dilakukan tanpa penukaran status Kategori Kegunaan Tanah daripada “Tiada” kepada “Bangunan” dan pecah sempadan dengan bahagian tanah yang dimiliki oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) disempurnakan terlebih dahulu.

Justeru, PAC mengesyorkan supaya BNM mampu membuat keputusan berkait pelaburan serta pembangunannya dengan bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak di samping menghormati transaksi jualan hartanah yang menguntungkan kerajaan.

BNM juga perlu dengan segera menyelesaikan isu penukaran Kategori Kegunaan Tanah dan pecah sempadan Tanah Lot 41, selain rancangan rapi untuk mengoptimumkan penggunaan tanah lot itu perlu dimuktamadkan, katanya.

Menurut Wong, isu berhubung tanah berkenaan adalah sebahagian daripada penemuan Jabatan Audit Negara (JAN) dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan yang dibentangkan di Parlimen pada 10 Dis 2020.

Berita berkaitan
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024· Isu semasa
Tengku Zafrul mohon kebenaran betulkan fakta Zahid dalam kes pengampunan Najib
April 22, 2024· Politik
Terdapat ‘kesilapan fakta’ dalam afidavit Zahid, kata Tengku Zafrul
April 18, 2024· Politik
Rafizi balas kecaman Puad, ‘dia saja seorang bising’
March 27, 2024· Politik
Popular
Hubungi 997 jika kena scam
October 14, 2022
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024
Azam Baki sahkan Rohana sudah pulangkan AS$10 juta
March 24, 2023
Kes Adib: 17 lelaki terlibat dalam rusuhan kuil dibebaskan
June 27, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
May 3, 2024 · Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024 · Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024 · Isu semasa
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok