Isteri Bung terima wang RM2.2 juta selepas perkenal ejen pelaburan

November 26, 2021 · Isu semasa

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diberitahu bahawa isteri Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, menerima wang tunai RM2.2 juta apabila memperkenalkan ejen pelaburan Public Mutual Berhad kepada suaminya untuk FELCRA membuat pelaburan RM150 juta dalam unit saham bank tersebut.

Ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, 43, berkata kebiasaannya wang pengenalan (introduction fee) akan diberikan kepada individu yang memperkenalkan ejen pelaburan kepada pelanggan, menurut laporan Bernama.

“Kami tidak menetapkan sebarang kadar bayaran (wang pengenalan), namun ia mengikut kepada budi bicara (antara ejen dengan individu). Kami putuskan untuk beri (wang pengenalan) kepada Datin Seri Zizie kerana memperkenalkan kami kepada Datuk Seri Bung,” katanya.

Madhi yang merupakan saksi utama dalam kes itu, berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria dan Law Chin How pada perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Bung Moktar dan isterinya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Menceritakan mengenai penyerahan wang pengenalan tersebut kepada Zizie Izette, saksi pendakwaan ke-24 itu, berkata beliau dan seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, menyerahkan wang berkenaan kepada pelakon itu di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini, pada Jun 2015.

“Pada hari tersebut, saya dan Puan Norhaili berada di bank (Public Bank), namun Puan Norhaili berada di bank hanya sekejap sahaja kerana dia ada urusan lain, jadi ketika transaksi wang berlaku, hanya tinggal saya dan Datin Seri Zizie berada di bank sehingga transaksi selesai.

“Pembayaran wang pengenalan itu dibuat dengan cara saya mengeluarkannya (wang) dalam bentuk cash (tunai) dan pihak Public Bank menyerahkannya kepada Datin Seri Zizie,” katanya.

Madhi berkata, sebelum penyerahan wang tersebut, pihak bank memaklumkan bahawa jumlah wang yang beliau mahu keluarkan tidak mencukupi dan hanya boleh mengeluarkan RM2.2 juta sahaja.

Ditanya Law, berapa jumlah wang yang diminta saksi itu, sehinggakan pihak bank memberitahu wang yang diminta tidak mencukupi, Madhi menjawab “Saya tak ingat berapa wang yang kami minta, tapi jumlah wang tunai yang dikeluarkan oleh Public Bank adalah RM2.2 juta.

Law: Sebelum ini kamu (Mahdi) kata akan bayar wang pengenalan kepada Datin Seri Zizie sebanyak RM2.5 juta ke atas, dan pihak bank hanya boleh keluarkan RM2.2 juta, jadi bagaimana dengan wang selebihnya?

Mahdi: Yang selebihnya dibayar kepada Datin Seri Zizie dengan cara membuka akaun pelaburan dengan Public Mutual Berhad seperti yang diminta oleh Datin Seri Zizie.

Saksi itu berkata, bagi membuka akaun pelaburan atas nama Zizie Izette, beliau dan Norhaili perlu menyerahkan baki wang pengenalan itu dalam bentuk cek atas nama Public Mutual.

“Sebanyak dua cek diberi kepada Datin Seri Zizie iaitu satu cek daripada saya berjumlah lebih RM200,000 dan satu lagi cek daripada Puan Norhaili yang jumlah untuk membuka akaun itu lebih kurang RM600,000 hingga RM700,000,” katanya.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, 63, yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette, 43, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Perbicaraan di hadapan Rozina bersambung 7 Dis ini.

Berita berkaitan
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024· Isu semasa
Selepas Zahid, Isa Samad juga dibebas daripada tuduhan rasuah RM3 juta
March 6, 2024· Politik
Jangan jadi ‘orang suruhan’ untuk kepentingan pihak tertentu, kata MB Kedah
January 8, 2024· Berita
Mahkamah benarkan pasport Muhyiddin dipulangkan untuk sementara
November 29, 2023· Isu semasa
Popular
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Petunjuk ekonomi positif, IMF unjur pertumbuhan KDNK 6.5%
April 7, 2021
KJ, Dr Noor Hisham disaman isu vaksin Covid-19
November 16, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
10 jam lalu · Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024 · Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Jualan saham pelabur asing tertinggi empat tahun minggu lalu: MIDF
April 22, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok