Seorang lelaki penagih dadah maut dilanggar lori setelah dia dipercayai mengelar ibunya sendiri sehingga wanita berusia 70 tahun itu meninggal dunia di rumah mereka di Gurun, Kedah, hari ini.
Lelaki berusia 31 tahun serta mempunyai rekod masalah mental tinggal bersama ibunya sejak 10 tahun lalu, maut dilanggar lori ketika dia berlari ke arah Jalan Jeniang di Kampung Batu 5 dekat Gurun.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 7.30 pagi tadi dan pemeriksaan di rumah itu menemukan mayat Sarah Jon, dalam keadaan terlentang di ruang tamu dengan kesan kelar sepanjang kira-kira 12.7 sentimeter pada bahagian leher.
“Terdapat sedikit kecederaan di tangan kanan dan telinga kiri mangsa (Sarah) yang dipercayai akibat dipukul dengan senjata tumpul. Kita turut menjumpai beberapa peralatan menghisap dadah dan sejumlah baki dadah di tepi pintu masuk (rumah),” katanya.
Beliau berkata pihaknya percaya kejadian itu berlaku antara jam 6.30 dan 7 pagi tadi dan anak lelaki mangsa kemudian bertindak menerpa ke Jalan Gurun-Jeniang, kira-kira satu kilometer dari rumah tersebut sebelum maut dilanggar lori yang melalui jalan berkenaan.
Menurutnya polia belum menemukan senjata yang disyaki digunakan dalam kejadian itu namun percaya perbuatan itu menggunakan pisau tumpul dan akan menggerakkan Unit Anjing Pengesan untuk mencari senjata itu di sekitar kawasan rumah mangsa dan lokasi anaknya dilanggar lori.
Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, berlaku pertengkaran antara wanita dan anak lelakinya itu malam tadi yang dipercayai berpunca daripada desakan anaknya untuk membeli dadah.
“Hasil maklumat yang kita dapat, pertengkaran berlaku hampir setiap hari. Adik mangsa yang tinggal berdekatan rumah mangsa memaklumkan dia terdengar pertengkaran selepas Isyak malam tadi, yang dipercayai desakan anak lelakinya meminta duit bagi membeli bekalan dadah,” katanya.
Katanya kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh itu dianggap selesai memandangkan anak lelaki mangsa sudah meninggal dunia dalam kemalangan itu namun polis akan meneruskan siasatan sekiranya terdapat maklumat baharu berkaitan kejadian itu.
Beliau berkata mayat wanita dan anak lelakinya itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.