Agong perkenan tamat darurat Sarawak, PRN akan diadakan

November 3, 2021 · Isu semasa

Yang di-Pertuan Agong hari ini memberi perkenan menamatkan Proklamasi Darurat negeri Sarawak selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Negara.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan setelah pertemuan itu, Istana Negara memaklumkan perkenan itu diberikan setelah Yang di-Pertuan Agong menimbang permohonan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azuan Effendi Zairakithnaini.

“Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menerima menghadap Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di Istana Negara pada 2 November 2021.

“Pada sesi menghadap itu Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak telah menyampaikan hasrat dan permohonan kerajaan negeri Sarawak kepada Seri Paduka Baginda agar Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak dapat ditamatkan,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Seri Paduka juga telah memperhalusi sembah nasihat Perdana Menteri serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan pandangan ketua-ketua agensi kerajaan, termasuk polis dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Perkenan Seri Paduka Baginda terhadap penamatan Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ini selaras dengan Perkara 40 dan 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

“Perlu diperjelaskan di sini bahawa berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Seri Paduka baginda setelah berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut Yang di-Pertuan Agong bimbang dengan risiko peningkatan penularan jangkitan Covid-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan.

Pada hemat baginda negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman Covid-19 dan penularan wabak itu juga masih pada tahap yang membimbangkan.

“Perkenan baginda kepada penamatan Proklamasi Darurat adalah satu keputusan yang sukar dan rumit. Namun ianya diperkenankan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, negeri itu hari ini merekodkan 540 jangkitan baharu, meningkat berbanding 528 kes yang dilaporkan semalam.

Semalam negeri itu merekodkan 18 kematian, berbanding 20 kes yang dilaporkan pada Isnin. Jumlah keseluruhan kes kematian di Sarawak akibat Covid-19 kini naik kepada 1,370 pesakit.

Sehingga semalam juga Sarawak mencatat 7,383 kes aktif dengan 4,258 individu menjalani kuarantin di rumah, 2,121 ditempatkan di PKRC, 901 dirawat di hospital dan 103 dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Sejak awal tahun lalu hingga semalam, negeri itu merekodkan 241,781 kes positif dengan 233,299 pesakit disahkan sembuh.

Berita berkaitan
Langkah Zafrul cuba perbetulkan fakta afidavit Zahid gagal, mahkamah tolak
May 2, 2024· Isu semasa
Isu RM750 juta, PAS minta PMX beri penjelasan jangan melulu buat tuduhan
January 10, 2024· Politik
Harga ayam naik, Menteri kata masih belum ada laporan selepas pengapungan
November 6, 2023· Isu semasa
Sultan Ibrahim berangkat bertemu Sultan Selangor dan Sultan Perak
October 28, 2023· Isu semasa
Popular
Jalan tertinggi di Malaysia dibuka
January 14, 2022
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024
Semua pihak perlu peka isu buli
November 6, 2021
Lagi Isu semasa terkini
Setahun lebih Anwar jadi PM, kebebasan media jatuh ke tempat 107
May 3, 2024 · Isu semasa
Kes stoking: Pengarah KK Mart dan isteri kemuka representasi kepada AGS
April 29, 2024 · Isu semasa
Chegu Bard berdepan dua tuduhan Akta Hasutan berhubung isu KK Mart
April 29, 2024 · Isu semasa
Rayuan Rosmah dalam kes rasuah solar didengar pada 23 Okt
April 23, 2024 · Isu semasa
Semua 10 mayat mangsa nahas helikopter berjaya dikeluarkan
April 23, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok