Badan Kawal Selia Ubat-Ubatan Eropah (EMA) pada Isnin merancang meluluskan penggunaan vaksin Covid-19 Moderna sebagai dos penggalak kepada individu berumur 18 tahun ke atas, sekurang-kurangnya enam bulan selepas dos kedua.
Vaksin Moderna adalah vaksin penggalak Covid-19 kedua yang diluluskan oleh Kesatuan Eropah (EU).
Kelulusan itu diberikan apabila data kajian menunjukkan bahawa dos ketiga yang akan disuntik selepas enam ke lapan bulan setelah dos kedua mampu meningkatkan tahap antibodi individu dewasa yang semakin menurun.
Awal bulan lalu, EMA sudah meluluskan dos penggalak jenis vaksin Pfizer-BioNTech dan mencadangkan suntikan dos ketiga dari kedua-dua vaksin yang diluluskan itu kepada individu mempunyai sistem imun lemah.
EMA juga memberitahu bahawa perlaksanaan program vaksinasi masih kekal sebagai prerogatif badan penasihat yang menerajui program vaksinasi di setiap negara anggota Kesatuan Eropah (EU).
Ketika berdepan dengan kemelut untuk memulihkan ekonomi, mencegah penularan varian Delta dan mengurangkan sekatan dengan musim sejuk yang bakal tiba, beberapa negara anggota EU sudah mengambil langkah berjaga-jaga untuk melancarkan program suntikan dos penggalak sebelum EMA mengeluarkan garis panduan tersebut.
Terdapat banyak negara sudah mengambil pendekatan berbeza untuk memberikan suntikan kepada individu yang layak menerima dos penggalak itu.
EMA memaklumkan, risiko keradangan jantung atau kesan sampingan lain akibat suntikan dilaporkan jarang berlaku dan akan segara dipantau.
Sementara itu, pihak berkuasa Amerika Syarikat juga sudah meluluskan tiga jenis vaksin untuk dos penggalak Covid-19 iaitu Pfizer-BioNTech, Moderna dan Johnson & Johnson. – Agensi