Lantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) disebabkan kerajaan memberi kepercayaan kepada mantan Perdana Menteri dalam mengendalikan langkah-langkah dalam menangani krisis kesihatan Covid-19, kata Datuk Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri (PM) berkata Muhyiddin sudah mempengerusikan majlis tersebut sejak ia ditubuhkan dan mengambilkira faktor tersebut kepercayaan diberikan kepadanya untuk meneruskan tanggungjawabnya.
“Memang Pagoh pengerusikan mesyuarat ini sejak mula diwujudkan, maka kita beri kepercayaan Pagoh teruskan tugasnya,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Ismail Sabri menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (MP) Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH- Kulim-Bandar Baharu) yang bertanya mengapa Muhyiddin dilantik sebagai pengerusi MPN.
Kerajaan pada 4 September lalu mengumumkan Muhyddin dilantik sebagai pengerusi MPN dengan status Menteri.
MPN diperkenalkan ketika Muhyiddin menjadi PM sebelum dijatuhkan oleh sekumpulan MP UMNO yang berkomplot dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia termasuk tindakan menghantar surat menyokong Anwar sebagai calon PM oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak serta pendedahan klip audio tular antara Anwar dengan Zahid pada April lalu.
MPN memperkenalkan empat tahap sebelum ekonomi dibuka semula sepuhnya dengan mengambil kira jumlah kes harian Covid-19, kapasiti hospital dan kadar vaksinasi.
Lantikan Muhyiddin itu menimbulkan rasa tidak puas hati Anwar dan blok pembangkang selepas gagal menjadi PM kerana tidak memiliki majoriti yang diperlukan.
Sebaliknya, Ismail Sabri mendapat majoriti sebanyak 114 untuk dilantik sebagai PM Kesembilan.