1) Menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada hujung minggu ini, terdapat beberapa pemimpin parti tersebut yang secara terbuka menjadikan Parti Bersatu sebagai kambing hitam serta beg tinju untuk dipersalahkan dalam menentukan halatuju parti mereka. Seolah-olah di pihak kepimpinan parti mereka suci murni belaka tiada cacat cela yang perlu dibaiki secara drastik. Walhal umum tahu adalah mustahil Kerajaan BN boleh tersungkur setelah PRU ke-14 lalu jika tidak diajar oleh kuasa undi majoriti rakyat terutama orang Melayu sendiri yang sudah muak dengan sikap angkuh, budaya bermewah-mewahan dan aktiviti korupsi sesetengah “warlords” UMNO.
2) Parti Bersatu tidak pernah mendabik dada kononnya kita satu-satunya wadah politik kaum Bumiputera yang paling sempurna, paling hebat atau paling maksum. Wujudnya Bersatu adalah berpucuk pangkal dari skandal kolar putih paling dahsyat dalam sejarah negara, 1MDB. Dari situ beberapa pemimpin UMNO yang berani bersuara termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin disingkirkan dari parti. Sementara itu kebanjiran warga asing turut dijadikan bisnes oleh watak tertentu yang berkuasa di zaman BN.
3) “Kapal” UMNO telah pun dirosakkan oleh beberapa pemimpin mereka yang pentingkan diri serta mengkhianati prinsip perjuangan bangsa. Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal mencapai matlamatnya untuk mengubah nasib ekonomi majoriti Bumiputera. Yang kaya hanyalah segelintir elit atasan dari kalangan tokoh-tokoh atau keluarga yang sama.
4) Malah isu tanah rizab Melayu di seluruh negara yang makin mengecil dan tidak diganti atau yang diganti tetapi dengan tanah lain yang tidak sama nilainya masih merupakan isu yang gagal diselesaikan di zaman pentadbiran kerajaan BN.
5) Dalam kegelapan inilah, timbul kesedaran nasionalisme kembali terutama di kalangan orang muda Melayu kita yang tercari-cari wadah politik alternatif yang lebih berintegriti, bersifat marhaen, lebih terbuka kepada kaum lain tetapi dalam masa yang sama tegas memperjuangkan asas-asas Rukun Negara… Ianya Parti Bersatu.
6) Namun saya akui tidak semua pemimpin dalam UMNO itu rosak belaka. Masih terselit tokoh-tokoh yang adil dan berwibawa serta tidak sombong. Begitu juga BERSATU, saya tidak nafikan keberadaan Bersatu dalam Pakatan Harapan (PH) dahulu bukanlah yang terbaik untuk masa depan rakyat khususnya kaum pribumi.
7) Kerana bermuhasabah dirilah maka majoriti pemimpin Bersatu pusat berani membuat keputusan pahit untuk berubah, dari PH kepada pembentukan Perikatan Nasional (PN) bersama PAS, STAR, SAPP, dan kini Gerakan. Ia turut disokong oleh GPS di Sarawak serta beberapa wakil-wakil rakyat bebas yang lain.
8) Walau diuji oleh wabak Covid-19 yang melanda negara hingga memberi impak besar terhadap ekonomi rakyat, kerajaan Malaysia pimpinan YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan sokongan dari UMNO atas dasar perpaduan nasional, kesejahteraan negara masih dapat dikekalkan melalui pelbagai bentuk bantuan dan usaha kepada rakyat. Dari inisiatif PENJANA hingga PEMERKASA, tiada kerajaan selain Malaysia di rantau Asia Tenggara yang berterusan menyalurkan bantuan tunai kepada rakyat di musim bencana ini.
9) Lihat betapa indahnya jika kita semua bermuhasabah diri, bertoleransi, rela berkongsi kuasa dan bergabung dalam satu saf pasukan besar dengan matlamat ikhlas bersama, iaitu demi Agama, Bangsa dan Negara. Kita mampu bina balik negara ini ke arah yang lebih baik dan saksama. Kita mampu memperbetulkan kesilapan serta kesalahan para pemimpin kita yang terdahulu.
10) Sebagai orang muda dan orang baru dalam politik nasional, dengan rendah diri saya seru para pemimpin bangsa kita tidak kiralah dari parti mana, fikirlah di luar skop kefanatikan terhadap parti politik kalian. Jika Presiden parti kami menghulur tangan perpaduan ummah secara terbuka ketika ucapannya di Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Bersatu tahun lepas, adakah seruan yang sama dapat kita didengari pada PAU nanti?
Dr. Muhammad Faiz Bin Na’aman
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia
26 Mac 2021