1) Pengumuman pembubaran parlimen oleh YAB PM Datuk Seri Ismail Sabri sebentar tadi adalah tanda semboyan telah dibunyikan bagi mengheret-paksa rakyat turun mengundi di musim hujan ribut dan banjir hujung tahun ini.
2) Keputusan PM itu dilihat sebagai terdesak kerana rakyat melihat beliau telah dan sedang ditekan oleh kepimpinan partinya yang didominasi Kluster Mahkamah, dengan seorang OKT (Orang Kena Tuduh) selaku presiden mereka yang mempunyai 47 kes berkait pecah amanah, rasuah dan gubahan wang haram melibatkan satu yayasan kebajikan.
3) Kita tahu bahawa tarikh akhir untuk sesi bela diri Presiden UMNO tersebut untuk 47 kesnya itu adalah hujung November ini, di mana keputusan mahkamah untuk membebas atau menghukumnya adalah Disember tahun ini atau selewat-lewatnya Januari tahun depan.
4) Dalam usaha serta pelbagai helah Kluster Mahkamah untuk membebaskan diri mereka dari dibicara apatah lagi dihukum oleh mahkamah, maka Peguam Negara, jika bukan Ketua Hakim Negara, mahu ditukar oleh kelompok tersebut secepat mungkin setelah dapat memegang tampuk pentadbiran negara secara solo.
5) Tanpa rakan politik untuk semak imbang dan memantau di Putrajaya sepertimana BN telah mendominasi kerajaan pusat negara ini sejak merdeka hingga jatuh korup, maka tidak hairanlah puak ini menolak malah mengecam seruan ke arah PERPADUAN UMMAH oleh PAS dan PENYATUAN NASIONAL oleh BERSATU.
6) BN lupa siapa yang beri nyawa dan oksigen untuk mereka bernafas kembali dalam pejabat pentadbiran kerajaan pusat di Putrajaya setelah kecundang ditolak majoriti rakyat dalam PRU lalu.
7) Mereka tidak insaf dek kerana para pemimpin yang angkuh dan koruplah maka Parti Keramat mereka itu makin dibenci oleh orang Melayu sendiri terutama generasi muda tanah air kita. Mereka rela bakar segala kelambu permuafakatan sesama bangsa hanya kerana taksub pemimpin tertinggi mereka serta asobiyyah kepartian yang melampau.
Rakyat juga rata-rata berasa dukacita dengan payung negara yang diharapkan dapat mengekang hasrat keji kelompok minoriti itu yang masih berkiblatkan seorang banduan VVIP di Penjara Kajang. Sungguhpun begitu, rakyat redha bahawa baginda tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan dalam hal pembubaran parlimen ini.
9) Politik rakus, hipokrit dan kuno yang terus menjadi budaya “Parti Keramat” itu memperbodohkan rakyat seolah-olah cerminan GURU yang mengajar ANAK MURIDNYA untuk licik berkata-kata menggunakan nama RAKYAT jika bukan nama bangsa dan agama.
10) Kami warga Perikatan Nasional (PN) khususnya dari Parti BERSATU akan terus istiqomah dengan prinsip perjuangan kami yang berteraskan semangat KEBANGSAAN demi perpaduan rakyat MARHAEN & memperjuangkan INTEGRITI. Kami akan hadap apa jua dan sesiapa saja yang bersaing dalam PRU ke-15 ini.
ALLAHUAKBAR!
HIDUP RAKYAT MARHAEN!
DIRGAHAYU NEGARAKU!
Dr Muhammad Faiz Bin Na’aman
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia
10 Oktober 2022
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.