1) Keghairahan beberapa pemimpin UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini yang membuat desakan terbuka ke atas YAB Perdana Menteri agar PRU dilaksanakan secepat mungkin adalah tindakan pentingkan diri dan boleh dianggap khianat terhadap hak Yang di-Pertuan Agong dalam perihal kuasa membubarkan parlimen.
2) Biarpun Datuk Seri Ismail Sabri itu dari parti yang berlainan dari saya, namun kebiadapan sesetengah warga UMNO yang menjerit “bubar parlimen” ke arahnya, video tindakan Presiden UMNO menolak beliau ke tepi untuk beri laluan kepada “National Embarrassment” serta menyisihkan Perdana Menteri kita itu dari karpet merah ketika di PWTC menunjukkan sikap kurang ajar dan angkuh Kluster Mahkamah.
3) Untuk berlaku adil kita perlu memberi pujian kepada YAB Perdana Menteri kerana beliau masih tegas berprinsip tidak mencampuri urusan mahkamah dan institusi kehakiman sepertimana prinsip yang dipegang oleh pendahulunya, Perdana Menteri ke-8 (PM8) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini. Mungkin kerana prinsip itu jualah Datuk Seri Ismail Sabri sedang diasak dari segenap penjuru oleh beberapa pemimpin UMNO yang sudah tidak sabar untuk meruntuhkan kerajaan sendiri lagi sekali.
4) Mungkin Kluster Mahkamah dan para penyokongnya lupa diri bahawa kestabilan serta keharmonian tadbir-urus negara ini bukan sekadar bergantung kepada dominasi satu parti tunggal yang mewakili satu kelompok kaum semata-mata, namun atas kerjasama serta perkongsian kuasa yang adil antara semua pihak yang bernama warganegara Malaysia termasuk mereka di Sabah dan Sarawak.
5) Maka adalah wajar setiap pemegang taruh dalam urusan politik negara ini termasuk pihak pembangkang yang membuat “MOU” dengan kerajaan untuk turut dirujuk apabila membicarakan soal mahu bubar parlimen. Begitu juga dengan parti-parti yang membentuk kerajaan Malaysia hari ini seperti Perikatan Nasional (PN) dan GPS, semua itu wajar dihormati dan diambil kira pendapatnya.
6) Di samping itu, rakyat juga wajar mendukung segala keputusan baik dari kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri, contohnya seperti pemerkasaan Bahasa Kebangsaan agar ia diguna pakai oleh wakil-wakil kerajaan ketika berucap di pentas antarabangsa serta mewajibkan pelajar-pelajar asing yang belajar di negara ini untuk menguasainya. Ia merupakan kesinambungan polisi pro Bahasa Kebangsaan oleh PM8 yang memansuhkan PPSMI.
7) Bahasa Kebangsaan merupakan wadah perpaduan. Jika rakyat tidak berbicara dalam bahasa yang sama piawainya, maka kita akan menghasilkan generasi yang mempunyai jurang antara kaum dan status sosial yang makin melebar hingga mengancam keutuhan nasional antara masyarakat. Begitu juga soal kedaulatan negeri-negeri dalam negara ini, ia merupakan harga mati yang tidak patut dirunding lagi! Syabas kepada kerajaan Malaysia kerana tegas menafikan tuntutan waris Sultan Sulu ke atas Sabah.
8) Dalam era geopolitik serta ekonomi dunia yang makin bergolak akibat konflik ketenteraan di Ukraine serta pertikaian di Laut China Selatan antara kuasa-kuasa besar, Malaysia memerlukan satu kerajaan kolektif yang mewakili kepentingan setiap warganya untuk lebih fokus ke arah kemandirian ekonomi domestik seperti bekalan makanan, pendigitalan untuk menjimatkan kos dan masa serta pelan pertahanan negara yang holistik dan dikemaskini.
9) Oleh yang demikian, adalah tidak masuk akal apabila laungan mahu PRU secepat mungkin itu didasarkan atas alasan mahu kestabilan, sedangkan hakikatnya menerjah PRU dalam keadaan tergesa-gesa di waktu negara sedang pulih dari wabak Covid-19 (kini varian Omicron) dan rata-rata rakyat sedang merangkak keluar dari kesempitan ekonomi merupakan resipi ambil kesempatan merampas kuasa politik yang mensabotaj kestabilan itu sendiri.
10) Saya menyeru semua warga Malaysia tanpa mengira kaum, negeri, parti politik serta status sosial agar mementingkan kestabilan dan keharmonian sebenar NEGARA ini dari dirobek dan diperkosa oleh kelompok opportunis yang bukan saja korup malah angkuh dan asobiyyah kerana mahu terus mengekalkan gaya hidup mewah “warlord-warlord” tua golongan kayangan yang pernah mendominasi politik nasional hingga DEB pun gagal mencapai sasarannya manakala Tanah Rizab Melayu pula makin mengecil seluruh negara.
Dr. Muhammad Faiz Bin Na’aman
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.