1) 10 September 2021 akan berlangsungnya sambutan ulang tahun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ke-5. Sejak ditubuhkan pada tahun 2016, parti pro Bumiputera yang bersifat inklusif ini telah mengalami beberapa fasa dalam perjuangannya. Di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mesra dipanggil sebagai “Abah” oleh orang muda seperti saya, BERSATU terus menyantuni rakyat di waktu bencana norma baru Covid-19 ini.
2) Namun apakah roh sebenar perjuangan BERSATU yang wajar dihayati oleh warga dan akar umbi parti ini? Terdapat pelbagai tafsiran mengenai prinsip perjuangan serta hala tuju parti ini. Tetapi yang pasti ia tidak boleh lari dari falsafah perlembagaan parti yang secara jelas menggariskan prinsip-prinsip perjuangannya, antara prinsip tersebut ialah menegakkan integriti dan anti korupsi. Itu yang membezakan BERSATU dari parti-parti berasaskan kepimpinan Melayu-Islam yang pernah wujud di negara ini. Penekanan diberikan untuk menentang golongan-golongan korup yang menjahanamkan bangsa dan negara.
3) Atas dasar tegas tersebut, sepertimana yang selalu diucapkan oleh Abah ketika beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8 sebelum ini, BERSATU tidak akan berkompromi dengan segala ugutan, hasutan, provokasi serta konspirasi dari pihak yang mendukung pesalah rasuah atau “Kluster Mahkamah” yang sedang menghadapi perbicaraan skandal-skandal berprofil tinggi. Sungguhpun begitu, sebagai parti yang sah berdaftar mengikut lunas undang-undang, BERSATU tidak sesekali menyokong campurtangan dalam institusi kehakiman dan keadilan negara.
4) Kita semua belajar dari kesilapan diri dan bangsa kita. Kita terus mengkaji sejarah kebangkitan empayar-empayar silam nenek moyang kita di Nusantara ini serta kenapa mereka jatuh. Kita, terutamanya kelompok pribumi di negara ini, tidak kira kalian dari Semenanjung atau utara Borneo, perlu terus mengukuhkan kesefahaman, kesatuan dan kerjasama bagi membangunkan bangsa kita yang hakikatnya agak jauh ketinggalan berbanding bangsa-bangsa maju di dunia. Kurangkan retorik dan berpujangga. Minimakan syak wasangka antara kaum di negara ini dengan semangat kebangsaan cintakan tanah air.
5) Janganlah wujud lagi mereka yang pentingkan diri sendiri kerana mengumpul kekayaan peribadi semata-mata hingga menggadai masa depan bangsa sendiri. Jangan biarkan politik wang dijadikan budaya dalam parti ini sepertimana ia pernah menjangkiti parti-parti lain yang sudah lama wujud. Sokonglah pemimpin kita kerana prinsipnya, visinya dan kebolehannya dalam memajukan ummah serta negara. Dukunglah pemimpin yang berani memimpin negara ketika kita menghadapi saat sukar seperti wabak Covid-19 serta masalah ekonomi global kesan darinya.
6) Definisi seseorang pemimpin itu ada pada diri “Abah”. Beliau adalah pemimpin pertama yang berjaya mendirikan kerajaan hasil gabungan dari parti-parti berasaskan majoriti Melayu-Muslim-Bumiputera di negara ini, dan ia dipanggil Perikatan Nasional (PN) sebagai wadah politik berdaftar serta nama kerajaan Malaysia sekarang. Itulah dia antara perjuangan BERSATU, iaitu menyatukan para pemimpin lain dari pelbagai latar-belakang ideologi politik untuk menghadapi objektif yang sama, demi negara.
7) Bercakap soal bangsa dan negara ini maka wajarlah semangat kebangsaan terus menjadi menu serta ramuan utama dalam membentuk jati diri warga Parti BERSATU ini. Kita sedar bahawa majoriti rakyat khususnya Bumiputera mahukan suatu parti yang bukan saja memperjuangkan keadilan sosial serta sistem semak imbang dalam pengurusan kerajaan, tetapi yang tegas dalam memperkasakan elemen-elemen kebangsaan seperti sekolah kebangsaan dan penggunaan bahasa kebangsaan. Jika rakyat Malaysia dambakan perpaduan, maka inilah yang patut didukung.
8) Dalam waktu yang sama, untuk membezakan Parti BERSATU dari parti-parti lama yang lain, maka parti ini harus ada keunikannya tersendiri, khususnya dalam saf kepimpinan. Jatuh bangun sesuatu perjuangan tersebut banyak bergantung kepada kelangsungan kepimpinan sesuatu bangsa itu, maka BERSATU harus terus mengetengahkan watak-watak segar dan muda yang mempunyai latar-belakang yang baik untuk diterima masyarakat. Di samping itu juga, mereka perlu dibimbing oleh orang-orang lama yang berpengalaman dalam politik dan pentadbiran kerajaan.
9) Peranan wanita melalui sayap Srikandi jangan sesekali dipandang sebelah mata. Wanita, bersama Srikandi Muda merupakan ejen penggerak perjuangan dalam menyantuni marhaen serta menjadi penghubung antara kelompok keluarga masyarakat dengan golongan pemimpin. BERSATU perlu menghasilkan generasi pemimpin “Wanita Besi” seterusnya untuk turut membantu pembangunan negara pasca Covid-19. Kelompok intelektual perlu diharmonikan dengan kumpulan pejuang-pejuang asal parti agar tiada jurang serta fitnah yang boleh memecahkan kesatuan ukhwah kita.
10) Secara peribadi saya berharap dan berdoa agar kita semua warga Parti BERSATU terus memperkukuhkan parti ini semampu boleh tanpa melanggar hukum agama, perlembagaan parti dan undang-undang negara. Bawalah semangat jati diri selaku pribumi yang layak dihormati oleh lawan dan kawan di luar sana. Biar orang ramai tahu bahawa warga BERSATU ini bermaruah, progresif dan berpandangan jauh untuk kemajuan bangsa dan generasi anak cucu kita semua. Semoga Tuhan terus memandu para pemimpin kita ke jalan yang benar bersama akar umbi yang ikhlas demi Agama, Bangsa dan Tanah Air (Alif Baa Taa) insyaAllah.
Dr. Muhammad Faiz Bin Na’aman
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia