
Ketua Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tuan Yang Di-Pertua,
1. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, AlSultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, di atas titah baginda di istiadat pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15.
Keprihatinan yang dizahirkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku terhadap permasalahan rakyat, terutamanya tekanan inflasi dan kos sara hidup, serta usaha-usaha yang mesti dilaksanakan untuk mengatasinya pastinya diambil ingatan dan perhatian oleh semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional.
Pemulihan Ekonomi
2. Dalam menangani permasalahan ekonomi rakyat, perkara pertama yang saya ingin sentuh ialah pemulihan ekonomi negara. Apabila ekonomi negara berjaya dipulihkan, maka rakyatlah yang akan menerima manfaatnya. Indikator pemulihan ekonomi mestilah menunjukkan bahawa ekonomi negara kita bukan sahaja telah mencapai tahap pra-pandemik, tetapi mesti menunjukkan keadaan yang lebih baik berbanding sebelum pandemik melanda negara.
3. Kita bersyukur kerana angka-angka menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku tahun keempat 2022 telah berkembang sebanyak 7 peratus.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, prestasi ekonomi bulanan Malaysia berkembang sederhana pada suku tahun keempat dengan pertumbuhan 7 peratus pada bulan Oktober, diikuti 5.7 peratus pada bulan November dan terus meningkat kepada 8.3 peratus pada bulan Disember 2022.
Prestasi ekonomi bagi suku tahun keempat 2022 telah melepasi paras pra-pendemik sebanyak 7.2 peratus dan secara keseluruhan, prestasi ekonomi Malaysia meningkat kepada 8.7 peratus pada 2022.
4. Saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya pertumbuhan ekonomi negara kita telah berjaya melepasi paras pra-pandemik. Ini menunjukkan bahawa langkahlangkah yang diambil oleh kerajaan sebelum ini dalam memulihkan ekonomi negara telah membuahkan hasil.
5. Dalam hubungan ini, saya juga ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini tentang pemerhatian yang dibuat oleh Majlis Pemulihan Negara yang telah dibawa ke perhatian kabinet kerajaan sebelum ini, bahawa indikator pemulihan yang sebenar bukan sekadar kejayaan kita mencatatkan pertumbuhan melepasi paras pra-pandemik, tetapi pra-pandemik plus plus.
Ini bererti, usaha-usaha untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dalam semua sektor mesti terus dipergiatkan agar mencatatkan pertumbuhan yang jauh lebih tinggi daripada paras pra-pandemik.
6. Untuk itu, perhatian mesti diberikan kepada usahausaha untuk memudahcara pertumbuhan dalam semua sektor ekonomi utama. Sektor-sektor yang terjejas teruk seperti pembinaan, pertanian, pembuatan dan perkhidmatan, termasuk sub-sektor pelancongan serta Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS), mesti dipastikan terus berada pada landasan pemulihan yang betul.
Masalah-masalah yang mereka hadapi seperti aliran tunai, kekurangan pekerja dan peningkatan kos operasi perniagaan mesti ditangani dengan cekap dan berkesan.
7. Saya percaya dalam poses pemulihan ekonomi negara, sektor-sektor ini masih memerlukan sokongan kerajaan. Tambah-tambah lagi dalam menghadapi keadaan ekonomi dunia yang dijangka lebih suram pada tahun ini. Kita tidak mahu sektor-sektor yang sedang pulih ini jatuh lagi akibat kemelesetan ekonomi global yang akan turut menjejaskan ekonomi negara kita.
8. Saya berharap dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan nanti, kerajaan akan menyediakan bantuan-bantuan, samada dalam bentuk fiskal atau nonfiskal, untuk sektor-sektor ekonomi tertentu bagi memastikan proses pemulihan ekonomi negara kita tidak terjejas atau terbantut.
Tuan Yang Di-Pertua,
Bantuan Kumpulan Rentan
9. Dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan masalah ekonomi rakyat akibat kesan inflasi, kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup, tumpuan utama mestilah diberikan kepada usaha-usaha untuk membantu rakyat terutama sekali golongan rentan.
10. Saya ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini kepada kenyataan YAB Perdana Menteri di peringkat awal penubuhan kerajaan dahulu bahawa kerajaan akan mengemukakan langkah-langkah yang komprehensif untuk menangani masalah kos sara hidup rakyat dalam tempoh dua minggu.
11. Sekarang ini telah menjangkau tiga bulan saya masih belum nampak sebarang langkah yang konkrit dan komprehensif yang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah kenaikan kos sara hidup rakyat. Yang kita dengar Menteri kata kalau harga ayam mahal, jangan makan ayam. Kalau harga telur mahal, jangan makan telur.
12. Ini bukanlah sesuatu yang rakyat harapkan daripada kerajaan. Yang rakyat harapkan ialah tindakan-tindakan kerajaan samada dari segi dasar, inisiatif atau intervensi tertentu untuk meningkatkan pendapatan rakyat, menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan serta memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi dan dijual pada harga yang munasabah.
13. Ya, menu rahmah yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah satu inisiatif yang baik. Tetapi dari segi jangka masa panjang, adakah inisiatif ini dapat bertahan sekiranya kos bahan mentah terus meningkat?
14. Saya harap dalam masa yang terdekat ini, kerajaan dapat mengumumkan langkah-langkah yang lebih konkrit dan menyeluruh untuk mengatasi masalah kos sara hidup rakyat dan membantu golongan rentan.
Pembasmian Kemiskinan
15. Satu lagi kesan daripada pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia ialah masalah kemiskinan yang menyebabkan jurang antara golongan kaya dan miskin semakin melebar. Laporan “Global Economic Prospect” oleh Bank Dunia yang dikeluarkan pada bulan Januari tahun ini mendedahkan hasil kajian di 34 buah negara mendapati kumpulan B40 menerima kesan kehilangan pendapatan yang paling ketara.
Ini menunjukkan bahawa pandemik COVID 19 yang melanda seluruh dunia memberi kesan besar kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.
16. Negara kita juga tidak terkecuali. Kumpulan B40 bukan lagi kekal 40% tetapi telah meningkat kepada 61%. Ini bermakna sementara kumpulan B40 sebelum ini menjadi lebih miskin, sebahagian daripada mereka yang tergolong dalam kumpulan M40 sebelum ini juga telah jatuh miskin.
17. Ini suatu perkara yang serius dan mesti diberikan perhatian segera dan utama oleh kerajaan. Kita akan berhadapan dengan masalah putaran ganas kemiskinan yang parah dan sukar dipulihkan sekiranya langkahlangkah segera tidak diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah kos sara hidup, membasmi kemiskinan dan menambah pendapatan rakyat.
Mesti ada program dan inisiatif khusus yang disediakan oleh kerajaan untuk menangani keadaan yang amat genting ini.
Dasar Bumiputera
18. Satu lagi perkara penting yang mesti diberikan keutamaan oleh kerajaan ialah dasar mengenai Bumiputera. Hakikatnya, sebahagian besar daripada golongan B40, atau dalam konteks hari ini lebih tepat dikatakan B60, adalah Bumiputera. Sebuah negara majmuk dan berbilang kaum tidak akan stabil dan makmur sekiranya kaum majoriti berada dalam kelompok miskin dan berpendapatan rendah dengan jurang kayamiskin semakin melebar.
19. Saya berharap agar kerajaan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha-usaha untuk memajukan ekonomi negara dan memelihara kebajikan rakyat. Itulah tugas hakiki kerajaan.
Dengarlah suara rakyat yang mahukan pembelaan. Misalnya, apalah salahnya kerajaan mempertimbangkan pengeluaran wang KWSP secara bersasar sekiranya itu adalah kehendak rakyat bagi membantu meringankan beban mereka di kala susah ini.
Begitu juga dengan moratorium pinjaman bank. Bank-bank terus membuat untung walaupun ketika negara berhadapan dengan krisis. Apalah salahnya jika bank-bank turut sama membantu rakyat dengan melaksanakan semula moratorium bayaran balik pinjaman secara bersasar bagi tempoh tertentu untuk meringankan beban rakyat akibat kesan inflasi dan kenaikan OPR.
20. Berhentilah bermain politik dan membuat keputusan-keputusan cakap tak serupa bikin. Misalnya, tiba-tiba ada dasar Menteri-Menteri boleh lantik anak beranak sebagai pegawai. Walaupun tidak mengambil gaji, pelantikan ini boleh menimbulkan percanggahan kepentingan, atau dengan izin “conflict of interest”, dan berbaur nepotisme.
21. Untuk apa dasar ini diperkenalkan? Ianya tiada kaitan langsung dengan keperluan rakyat yang mendesak pada ketika ini. Rakyat bukan nak lihat anak Menteri, anak Perdana Menteri, memegang jawatan dalam kerajaan. Mereka nak lihat Menteri dan Perdana Menteri buat kerja untuk rakyat.
22. Begitu juga dengan tindakan kerajaan menekan kebebasan anak-anak muda untuk bersuara di media sosial terutamanya menerusi saluran Tik Tok. Ramai penganalisis politik mengatakan dalam PRU-15 yang lalu, kempen Perikatan Nasional mendapat sambutan yang hangat di Tik Tok, terutamanya di kalangan anakanak muda.
Sekarang, selepas pilihanraya telah ada tindakan-tindakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital untuk menyekat dan menekan pengguna Tik Tok khususnya yang menyokong Perikatan Nasional. Ini satu bentuk “political persecution”, dengan izin, Tuan Yang DiPertua. Ini satu lagi bikin tak serupa cakap.
Kononnya perjuangan Pakatan Harapan adalah untuk mendukung kebebasan media dan kebebasan bersuara. Kalau begitu, kenapa kebebasan penyokong-penyokong
Perikatan Nasional di Tik Tok disekat, tetapi kebebasan penyokong-penyokong Pakatan Harapan yang saban hari menabur fitnah dan kebencian di twitter tidak dikawal?
23. Begitu juga dengan kenyataan-kenyataan yang seolahnya mencabar kedudukan kaum Melayu dan Bumiputera di negara ini. Kononnya, perkhidmatan awam di negara ini didominasi oleh kaum Melayu dan atas nama reformasi, dominasi ini mesti dirombak. Hormatilah perasaan penjawat awam.
Selain kedudukan kaum Melayu dan Bumiutera dalam perkhidmatan awam yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, mereka semua berkhidmat untuk negara dan untuk semua kaum.
Tuan Yang Di-Pertua,
24. Saya perhatikan kepimpian kerajaan hari ini cenderung untuk mengambil tindakan-tindakan berbentuk, dengan izin, witch-hunting, atau mencari kesalahan kerajaan dahulu yang sebenarnya tidak wujud.
Melemparkan tuduhan yang bukan-bukan. Kononnya saya seleweng RM600 bilion. Kemudian turun nilainya kepada RM92.5 bilion. Kemudiannya turun lagi kepada RM4 billion hingga RM5 bilion. Yang terakhir RM300 juta. Apa ini? Angka yang berubah-ubah ini keluar dari mulut Perdana Menteri sendiri. Seolah-olah Perdana Menteri pun tidak pasti apa yang dia tuduh. Kalau tidak pasti, jangan tuduh sebarangan.
25. Saya tidak ambil wang rakyat walau satu sen pun masuk ke kocek saya. Boleh siasat, tetapi jangan samakan saya dengan yang lain. Jangan samakan parti saya dengan parti yang lain. Saya nak ingatkan Tambun, jangan salah guna kuasa sebagai Perdana Menteri untuk menekan saya dan Perikatan Nasional.
26. Saya juga nak ingatkan di dewan yang mulia ini, Tambun pernah didapati bersalah oleh mahkamah kerana menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan dirinya sendiri. Maaf, bukan niat saya untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap Tambun. Itu sejarah lampau.
27. Sekarang, dengan izin Allah SWT jua, Tambun kembali ke tampuk kuasa sebagai Perdana Menteri. Sesungguhnya Allah itu Maha Kuasa. Dialah yang memberi kuasa kepada sesiapa yang Dia mahu, dan Dialah yang menarik kekuasaan daripada sesiapa yang Dia mahu. Tiada kuasa yang kekal melainkan kekuasaan Allah SWT jua. Kuasa saya sebagai Perdana Menteri tidak kekal.
Kuasa Tambun sebagai Perdana Menteri juga tidak akan kekal selama-lamanya.
Tuan Yang Di-Pertua,
28. Walaupun saban hari ditekan, kami di pihak pembangkang pastinya akan memainkan peranan semak dan imbang (check and balance) secara konstruktif.
Sebagai pembangkang yang berwibawa, Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional akan terus memainkan peranan kami dengan penuh berintegriti dan menjunjung prinsip Bersih, Prihatin dan Stabil. Mana-mana dasar yang baik kami sokong. Mana-mana dasar yang memberi mudarat kepada rakyat kami tentang.
Terima kasih, Tuan Yang Di-Pertua.
Tan Sri Muhyiddin Yassin
Ketua Ahli Parlimen Perikatan Nasional
Ahli Parlimen Pagoh.