Dalam mengeji, masih ramai yang memuji. Keji dan puji, bodoh dan cerdik, pro dan kontra adalah lumrah dunia. Kita boleh tahu bagaimana perangai orang yang suka mengeji. Demikian juga mereka yang memuji. Bagaimana perangai orang bodoh dan orang cerdik pun kita boleh tahu.
Bila orang bodoh bersuara, kita sudah boleh baca bagaimana sikap dan perangai mereka dalam kehidupan seharian. Salah satu sikap orang sebegini ialah mereka mudah diajak untuk terjun ke dalam lubang najis.
Biarlah hendak dikata kerajaan bodoh atau kerajaan gagal. Itu adalah lumrah. Yang memimpin kerajaan tetap meletakkan komitmen 100 peratus untuk memastikan keselamatan rakyat dan negara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri sudah meminta rakyat melakukan sekatan pergerakan kendiri atau self-lockdown untuk menyekat peningkatan mendadak Covid-19.
Beliau juga menasihati rakyat supaya mengingatkan orang lain supaya berbuat perkara sama kerana apapun usaha kerajaan tidak akan berkesan jika rakyat tidak patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Sama-sama kita tolong peringatkan orang lain supaya melakukan self lockdown. Bukannya mengajak orang ramai turut sama melakukan dosa dengan menyebarkan rasa tidak puas hati atau terjun ke dalam lubang najis.
Tidak akan ada keputusan dan langkah kerajaan akan diterima dengan baik. Biarpun mempunyai 222 kerusi di Dewan Rakyat, akan ada satu peratus rakyat yang tidak puas hati lalu mencari sedikit sahaja keburukan kerajaan dan menyebarkannya. Konon mereka lah yang betul.
Lihat sahaja ketika perlawanan bola sepak. Penonton tepi padang ‘lebih pandai’ daripada jurulatih dan pemain. Penonton melabelkan pemain itu #…bodoh jika tidak melakukan hantaran bola mengikut selera mereka yang menonton dari tempat tinggi. Tapi, bila diberi kasut untuk bermain, mulalah gelabah dan gelojoh.
Apa lagi menjadi pemimpin sebuah kerajaan. Sudah pasti ada sahaja penonton yang tidak puas hati dengan keputusan dan langkah diambil, walaupun ianya lebih popular di kalangan majoriti penonton lain.
Kita percaya – tambah lagi jika pemimpin itu seorang Muslim yang taat – apa yang dilakukannya penting bagi manfaat 99 peratus rakyat. Biar lah keputusan dan langkah dibuat tidak popular bagi satu peratus rakyat.
Janganlah kita menjadi seperti mereka yang lebih banyak mengeji daripada berdoa. Janganlah kita menjadi seperti mereka yang lebih banyak melihat kebodohan orang lain daripada melihat kebodohan diri sendiri.
Kita percaya jika seorang pemimpin Islam yang taat akan lebih mengutamakan rakyat. Tapi, hati-hati juga dengan pemimpin yang nampak sahaja taat kepada agama. Nampak sahaja dalam gambar pakai jubah duduk dalam masjid menadah tangan berdoa – nampak baik lah.
Luar sahaja nampak baik, sebaliknya di dalamnya hati hitam pekat. Bersuara sahaja mulut berbau busuk. Bangun pagi lepas solat Subuh terus cari idea untuk mengutuk kerajaan, bukan membantu. Buat muka kasihan tapi makan rasuah, tidak amanah, menyeleweng, mencuri duit rakyat hingga jutaan ringgit, dan skandal seks. Tidak mengaku walau sudah terbukti.
Negara akan hancur jika majoriti rakyat mengikut pemimpin seperti itu. Pemimpin itu seronok. Negara hancur tak mengapa, kami ada rumah di luar negara, kami ada harta dan wang jutaan ringgit, wang dolar Amerika, dolar Singapura, pound British.
Demikian juga apabila kerajaan membuat keputusan dan strategi bagi memerangi pandemik Covid-19 yang melanda negara dengan hebat sekarang. Orang bodoh berfikir menghapuskan virus itu cukup seperti menyapu sampah. Sampah boleh lah sapu begitu sahaja, sebab sampah tak bergerak ke mana-mana.
Tapi manusia sentiasa bergerak. Dihalang pergerakan mereka, maka mereka marah, lalu mulalah mengutuk kerajaan. Tidak dihalang pula, virus yang ada di dalam diri mereka tersebar ke serata pelosok kampung, menjangkiti orang lain – kerajaan juga dipersalahkan.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang ini sudah melakukan yang terbaik sejak pandemik Covid-19 melanda negara awal tahun lalu. Pelbagai tindakan telah diambil untuk memastikan keselamatan rakyat. Bantuan juga diberikan untuk rakyat meneruskan kelangsungan hidup.
Peruntukan terus ditambah untuk memerangi Covid-19. Tapi kenapa jumlah jangkitan terus meningkat. Pada peringkat awal kerajaan melaksanakan ‘lockdown’ Covid-19 menjunam hingga mendapat pujian. Tapi berapa banyak kerugian dialami, berapa ramai yang sengsara kerana hilang pekerjaan.
Justeru, kerajaan ‘menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak’. Membuat keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang diperketatkan lagi, untuk menjaga semua pihak, supaya tiada lagi rakyat yang akan kehilangan pekerjaan akibat sektor ekonomi ditutup.
Biarlah tidak popular. Janji suatu hari nanti tidak timbul pula kes menggelapkan jutaan ringgit ketika memerangi Covid-19.
Kita semua tahu di pihak kerajaan macam-macam usaha telah dilaksanakan untuk memerangi pandemik ini. Di pihak kita sendiri bagaimana? Jangan bergantung kepada kerajaan semata-mata. Kerajaan sudah beri lembu, takkan kerajaan kena bagi tali pula?
Usaha kendiri mesti dilakukan. Diri sendiri pula sekarang ini yang mesti membuat keputusan. Pilihlah sendiri hendak duduk dalam ICU atau di rumah. Lihat dulu diri sendiri sebelum guna tanda pagar kerajaan bodoh dan kerajaan gagal.
Tok Akhi