
Kenyataan Ahli Parlimen Machang
1. Baru-baru ini tular video pasal Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Fuziah Salleh yang dikutuk teruk netizen atas percubaannya untuk membuktikan kononnya kos sara hidup masih rendah.
2. Di akhir rakaman tular tersebut, dia tanpa rasa bersalah mengatakan kononnya perbelanjaan sebanyak RM200 dah cukup untuk menampung kelengkapan barangan dapur:
“Siapa kata RM200 tak boleh? Tak cukup? Kena RM500? Jangan cakap perkara tak benar. Saya sendiri tengok dan saya sendiri nilai,” katanya.
3. Ini berlaku selepas Menteri Ekonomi tempoh hari menyalahkan tabiat makan di luar sebagai punca kenaikan kos sara hidup. Bagi rakyat, tindak-tanduk dan taakulan para menteri ini dah macam lawak bodoh. Cukup-cukuplah berangan pasal model ekonomi syok sendiri, dan pergi lah belajar ilmu ekonomi perilaku (Behavioural Economics)!
Ada beberapa perkara salah yang mereka sering ketengahkan dalam membicara masalah ini:
a) Naratif Menyimpang.
Seperti modus operandi politikus Pakatan Harapan lain, Fuziah cuba mempersembahkan satu naratif. Malangnya, dia gagal membina persepsi kerana barang-barang yang ditayangkan ialah makanan dan keperluan asas. Benda-benda ni amat dekat di hati orang ramai kerana setiap hari, kerisauan yang bermain di minda ialah, “Cukup atau tak barang yang dibeli?”
Naratif yang cuba dijual kerajaan cuba menampakkan barang-barang yang sebenarnya mahal sebagai murah dan mampu beli.
b) Paternalisme.
Kerajaan mahu mengarahkan tabiat berbelanja rakyat supaya selari dengan angan-angan mereka. Oleh sebab perangai sebegini adalah perangai diktator, ilmu ekonomi kontemporari membidas amalan ini sebagai paternalisme. Ia berlaku apabila kerajaan membataskan kebebasan memilih oleh rakyat. Di negara-negara maju, selalunya ini dikecam sebagai tiada etika.
c) Beza antara Perbelanjaan dan Penggunaan.
Kerajaan Madani keliru, tak dapat membezakan antara perbelanjaan dengan penggunaan. Yang ditayangkan hanyalah perbelanjaan. Dengan membeli sedikit barang saja, dia kata barang dah murah. Daripada segi perbelanjaan, memang nampak macam murah tetapi dia silap kerana perbelanjaan hanya duit keluar tanpa mengambilkira berapa banyak barang dibeli.
Yang penting ialah apa dan berapa banyak barang yang rakyat guna, bukan berapa banyak duit yang dibelanjakan. Tak guna kalau Menteri tunjuk 3 pek mi segera dan satu pek Milo yang harganya mampu beli jika penggunaan sebenar jauh lebih banyak daripada itu.
4. Jika ambilkira penggunaan, barulah kita tahu dalam sebulan berapa banyak barang yang digunakan. Tapi apa yang Timbalan Menteri belanja, jelas sekali adalah untuk penggunaan yang jauh lebih kecil daripada penggunaan sebenar.
5. Apa yang kerajaan buat sekarang hanya lah melukis satu model ekonomi dan berharap agar semua orang, tak kira latar belakang, mesti ikut tabiat perbelanjaan dalam model ekonomi yang mereka angan-angankan tadi. Cara untuk membebaskan minda daripada pemikiran salah tadi ialah belajar ilmu ekonomi perilaku (Behavioural Economics).
6. Memang lucu apabila politikus yang bersyarah pasal ekonomi pasaran bebas tapi tak suka tabiat berbelanja yang bebas. Adakah ekonomi bebas itu hanya terpakai jika menguntungkan kartel dan tauke, tapi tak terpakai jika tak untungkan para tauke?
Apa nak buat “ini kerajaan kami, suka hati kami” kata mereka!
Wan Ahmad Fayhsal Bin Wan Ahmad Kamal
Ahli Parlimen Machang
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.
Berita tepat dan menyeluruh.