Fakta daripada PricewaterhouseCoopers dalam laporan “The World in 2050” membuat unjuran pertumbuhan ekonomi bagi 32 ekonomi terbesar yang merangkumi 84% KDNK/GDP global:
Dari segi Pariti Kuasa Beli (PPP), saiz ekonomi negara-negara ini bakal mencorak dan mengubah wajah dunia pada 2050 di mana:
1. China
2. India
3. Amerika
4. Indonesia
5. Brazil
Jelas 2050 adalah era di mana Asia bakal bangkit dan menyaingi rapat negara-negara Barat yang telah membangung. Malaysia sendiri bakal berada di tangga ke-24 tapi yang lebih menarik jiran-jiran tetangga dan rakan dagang kita serantau berada jauh di hadapan kita: (23) Bangladesh, (22) Vietnam, (21) Thailand dan (20) Filipina.
Malaysia perlukan strategi yang boleh menyaingi rakan-rakan serantau memandangkan kita agak ketinggalan dan tercicir.
Kita perlukan jalan pintas atau strategi “moonshot” dan “leapfrogging” untuk membangunkan Malaysia menjadi negara maju. Antara strategi pertama yang Malaysia amat perlukan ialah Dasar Pelaburan Luar Negara yang lebih ampuh.
Di peringkat antarabangsa, Malaysia perlu strategi yang jelas seperti “Going-Out”/“Kembara Luar” untuk syarikat-syarikat kita melabur di tempat-tempat yang mahukan rakan dagang yang ikhlas seperti Afrika, Asia Tengah dan Amerika Selatan.
Tetapi untuk menjayakannya Malaysia perlu strategi yang boleh menumpang dan bernaung di bawah pelan pembangunang serantau dan global yang besar dibawa oleh rakan dagang kita yang lebih besar seperti “Belt and Road Initiatives” (BRI) oleh China dan lain-lain.
Usaha ini bukan mudah. Ianya terdedah kepada banyak risiko yang tinggi tapi disitulah keuntungannya. Sebarang pelaburan sebegini “high risk” pada masa yang sama juga “high return”.
Oleh itu kita perlu sentiasa berganding bahu dan berkerjasama dengan mana-mana negara veto agar pelaburan yang kita lakukan bersama mereka terkawal risikonya.
Perkara ini pernah kita lakukan pada awal 90-an. Ketika itu syarikat minyak dan gas kita PETRONAS telah berkerjasama dengan CNPC untuk kerja-kerja cari-gali minyak dan gas di Sudan.
Ternyata ianya satu usaha yang berjaya dan telah mengangkat kemampuan PETRONAS untuk terus melebar luaskan operasinya di luar negara dan membawa pulangan yang besar.
Kita juga boleh belajar daripada jiran tetangga kita iaitu Indonesia yang memiliki strategi mereka sendiri untuk bernaung dan menumpang arus baru pembangunan ekonomi serantau dan dunia.
Pada 2014 di Persidangan APEC di Beijing, Presiden Jokowi telah melancarkan gagasan ekonoi serantau dan global Indonesia iaitu Poros Maritim Dunia (Global Maritime Fulcrum).
Ianya satu kenyataan yang berwawasan dan berpandangan jauh dengan mengambil kira kedudukan strategik geografi kepulauan Indonesia dalam menghubungkan laluan perdagangan dunia yang sibuk di sebelah Timur.
Malaysia juga mampu melakukannya kerana kita adalah Penjaga Selat Melaka – laluan perdagangan paling sibuk di dunia menghubungkan Timur dan Barat ribuan tahun lamanya.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal,
Ahli Parlimen Perikatan Nasional Machang.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.