
Kenyataan Ketua Armada Bersatu
1. Alhamdulillah, saya panjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT diatas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini yang telah melepaskan dan membebaskan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada 4 pertuduhan dibawah Akta SPRM berkaitan sumbangan dana politik kepada parti BERSATU. Sabtu lalu dalam Pilihan Raya Umum 6 Negeri rakyat telah bersuara, hari ini mahkamah juga telah bersuara.
2. Saya mewakili seluruh ahli dan kepimpinan ARMADA juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah buat barisan peguambela yang diketuai oleh Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang telah menjalankan tugas dengan profesional dan jayanya sehingga keputusan ini berjaya diperolehi.
3. Adalah amat jelas bahawa sejak mula lagi, pertuduhan ini amat cacat dan bermotifkan politik untuk mencemarkan nama baik YB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti BERSATU.
4. Mahkamah pada hari ini juga mendapati bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap YB Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tidak berasas justeru tidak dapat dipertahankan.
5. Pertuduhan ini jelas direka-reka bagi tujuan politik khususnya untuk melemahkan parti BERSATU dan mempengaruhi sokongan rakyat sebelum Pilihanraya Umum di 6 negeri diadakan.
6. Keputusan hari ini membuktikan bahawa segala dakwaan dan tohmahan jahat terhadap YB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti BERSATU adalah suatu fitnah. Walaubagaimanapun saya amat bersyukur pada hari ini, kebenaran telah terbukti dan ditegakkan.
7. Oleh yang demikian dan berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi pada hari ini, Armada Bersatu Malaysia (ARMADA) mendesak agar Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun meletakkan jawatan serta-merta!
Wan Ahmad Fayhsal Bin Wan Ahmad Kamal
Ketua Armada Bersatu Malaysia
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.
Berita tepat dan menyeluruh.