“Civilisations die from suicide, not by murder” – Arnold J. Toynbee.
Kesimpulan yang dibuat oleh sejarawan agung British yang terkenal dengan berjilid-jilid karya “A Study of History” (terbit 1934) ini bukan calang-calang dapatan.
Beliau mengkaji jatuh bangun 26 peradaban dan dinasti politik di dalamnya sepanjang zaman. Hasil daripada kajian dan renungan ilmiah itulah yang menatijahkan kesimpulan bahawa peradaban dan dinasti politik mati bukan kerana dibunuh dari luar tetapi hakikatnya dibunuh dari dalam oleh tangan-tangan orangnya sendiri.
Sebagai manusia kita sering melihat aspek zahir sebagai pembuktian mudah tentang sesuatu perkara. Pendek kata – semua salah orang lain, bukan diri sendiri.
Tetapi sebagai kaum Muslimin, kita diajar untuk melihat sesuatu kejadian dari aspek batin juga.
Sebab itulah para ulama’ dan sejarawan Islam menafsir “Khabar Hitam dari Timur” iaitu serangan kaum Tartar/Mongol yang menghancurkan zaman kegemilangan peradaban Islam dinasti ‘Abbasiyyah sebagai satu takdir yang Allah SWT sendiri kirim untuk menghukum kerajaan dan dinasti politik ketika itu yang lemah, culas, tidak amanah dan mengkhianati rakyat dan agamanya.
Renungan batin yang lebih tajam dinukil oleh Imam Al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din khusus dalam Kitab al-‘Ilm (Book of Knowledge) dan juga kemudian dalam Fatwa Mardin yang terkenal oleh Ibn Taimiyyah berhubung kelemahan dalaman kaum Muslimin dan dinasti politiknya sehingga menyebabkan kita “dijajah” oleh Mongol dan Tentera Salib. Hancur lebur Dunia Islam ketika itu.
Salah siapa sebenarnya? Salah diri kita sendiri ketika itu kerana pemimpin palsu yang melata, yang bersekongkol dengan “Hashashin”dan puak Batiniyah sehingga terbunuh pemimpin adil seperti Nizam al-Mulk.
Pengajaran untuk kita: sejarah sebegini sedang diulang tayang, bagi yang lupa dan membutakan mata hati, kamu tuai nasib pengakhiran dinasti politik kamu di kemudian hari.
Kalau rasa nak tengok kisah sejarah ini secara drama fiksyen, tontong drama “Diriliş: Ertuğrul” dalam Netflix.
Nota: buku “The Mongol Storm: Making and Breaking Empires in the Medieval Near East” (2022) oleh Prof. Nicholas Morton ini memperkukuhkan lagi renungan batin sejarawan agung zaman-berzaman – Ibn Khaldun, Toynbee, Al-Ghazali dan lain-lain – bahawa penjajahan Mongol ini adalah “kuasa sejarah” (force of history) yang Tuhan telah kirim untuk mengubah rupa wajah dunia ketika itu – seperti mana “Black Death” yang merubah demografi, politik dan sosio-ekonomi seantero dunia zaman Pertengahan (Medieval) Eropah.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Ahli Parlimen Machang
Ketua Armada Bersatu Malaysia